Dr Maximus Ongkili Sedih Laporan Akhir Jawatankuasa Tidak Dapat Dibahas
Selasa April 3, 2012
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sedih laporan akhir jawatankuasa itu tidak dapat dibahaskan di Parlimen pada Selasa hanya disebabkan "laporan minoriti" yang sengaja dibangkitkan pembangkang.
Walaupun laporan itu diterima dan diluluskan Dewan Rakyat, beliau berkata kelulusan tanpa dibahaskan itu tidak sepadan dengan masa dan tenaga yang dicurahkan semua pihak yang mengambil bahagian, termasuk tiga wakil pembangkang dalam jawatankuasa itu.
Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata beliau hairan bagaimana pembangkang boleh bertindak sedemikian sedangkan 82 peratus daripada 22 syor penambahbaikan yang diputuskan sebelum ini dipersetujui bersama oleh wakil mereka di dalam jawatankuasa itu tanpa sebarang masalah.
"Saya sedih kerana banyak masa dan kerja telah dibuat. Bukan hanya saya tetapi semua anggota telah menghabiskan banyak masa sehinggalah ke mesyuarat terakhir dan bersetuju 82 peratus daripada 22 syor... tetapi 'main politik' pada saat akhir.
"Maka, saya serahkan kepada orang ramai dan Anggota Parlimen untuk menilai kandungan laporan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan laporan jawatankuasa itu diluluskan tanpa dibahas berikutan kekecohan yang ditimbulkan di dalam dewan.
Speaker memutuskan demikian apabila anggota Parlimen pembangkang Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) yang menimbulkan kekecohan enggan meninggalkan dewan setelah diperintah berbuat demikian.
Ongkili berkata selain soal laporan minoriti yang sengaja ditimbulkan pembangkang, beliau yakin keseluruhan laporan itu akan diterima jika dibahaskan sepertimana penerimaan sebulat suara anggota persidangan terhadap laporan interim jawatankuasa itu pada 1 Disember lepas.
Walaupun tidak dibahas, Ongkili percaya keadaan itu tidak menyebabkan kekurangan daripada segi isi kandungan laporan.
Jawatankuasa bagi menambahbaik proses pilihan raya di negara ini ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lepas dan diberi masa enam bulan untuk mengemukakan cadangan.
Selain Ongkili, anggota lain dalam jawatankuasa itu ialah Azmin Ali, P. Kamalanathan, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Tan Sri Dr Fong Chan Onn, Datuk Alexander Nanta Linggi, Dr Mohd Hatta Ramli, Anthony Loke dan Wee Choo Keong.
Sementara itu, Anggota Parlimen Bebas-Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata isu laporan minoriti ditimbulkan pembangkang sebagai persediaan awal untuk mempertikaikan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya tewas dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata pembangkang sengaja menimbulkan kekecohan di dalam dewan dengan harapan laporan itu tidak dapat dibahaskan, yang membolehkan mereka terus menanam persepsi buruk masyarakat terhadap SPR.
"Saya harap rakyat tidak terpengaruh dengan apa sahaja laporan yang keluar daripada mana-mana media maya, You Tube, Twitter ataupun melalui Facebook," katanya. - BERNAMA