Posted Berita Harian Rabu 24/08/2011
Awang Tengah, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, berkata PBB pasti menyenaraikan beberapa calon baru berikutan keputusan beberapa penyandang seperti Anggota Parlimen Samarahan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang telah mengumumkan hasrat mengundurkan diri.
"Beliau (Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib) sudahpun menyatakan untuk tidak mengekalkan kerusi itu (Samarahan) pada pilihan raya umum akan datang, sudah pasti akan ada muka baru sebagai pengganti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program polis bersama masyarakat di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Katanya, PBB juga sedang membuat beberapa penilaian ke atas penyandang lain dan keputusan akan dibuat selepas pemimpin di peringkat tertinggi berpuas hati dengan prestasi mereka.
Daripada 31 kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada Sarawak, 14 kerusi ditandingi PBB.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah, yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Sarawak berkata, lebih banyak pendekatan akan diambil dalam mengatasi dan mengurangkan kadar jenayah di Sarawak.
Katanya, masyarakat umum perlu bekerjasama dengan pihak polis dalam menangani isu jenayah dan tidak hanya menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada polis.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Deputi Komisioner Datuk Mortadza Nazarene berkata, kawasan bit dan ronda polis untuk musim perayaan ini akan diperluaskan selain rondaan rutin melibatkan pasukan polis unit MPV.
"Kalau biasa kita operasi dalam lingkungan 30 peratus, ia akan kita tingkatkan kepada 60 peratus ketika ini dan akan mencapai 100 paratus bila musim perayaan bermula minggu depan," katanya ketika ditemui pemberta pada majlis itu. - BERNAMA