Kawasan Perkuburan Purba di dalam Gua Niah Photo credits www.yamiya.com |
Posted on Utusan Borneo August 9, 2011, Tuesday
Sekurang-kurangnya dua tahun lagi diperlukan sebelum 122 rangka dari Gua Niah dibawa dari Amerika Syarikat.
MIRI: Sekurang-kurangnya tempoh dua tahun lagi diperlukan sebelum Sarawak dapat membawa pulang 122 rangka manusia purba dari Gua Niah yang dibawa ke Amerika Syarikat (AS) oleh pakar arkeologi negara itu pada pertengahan 1960-an.
Kurator Muzium Sawarak Ipoi Datan semalam berkata persiapan sedang dibuat dengan bantuan Jabatan Warisan Negara untuk membawa pulang rangka berkenaan, yang kini berada di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat.
“Ia membabitkan perbincangan yang panjang, termasuk urusan imigresen dan isu kesihatan yang perlu diselesaikan tetapi kami menjangkakan ia berjaya dibawa pulang selewat-lewatnya pada 2013 atau 2014,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan Pameran Arkeologi Malaysia di Muzium Petroleum di sini semalam.
Menteri Muda Pelancongan Mong Dagang merasmikan pameran itu yang akan berlangsung sehingga 31 Disember tahun ini.
Ipoi berkata, sebaik dibawa pulang, kesemua rangka berkenaan akan ditempatkan di bilik pameran khas di Muzium Petroleum di sini.
Dianggarkan keseluruhan projek itu membabitkan kos RM1.5 juta termasuk perbelanjaan menjejaki rangka, perjalanan ke Las Vegas, tiket penerbangan dan pembinaan bilik kurasi khas serta kemudahan di Muzium Petroleum.
Inisiatif membawa pulang rangka manusia purba itu bermula selepas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mencadangkan perkara itu ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo pada tahun lepas.
Pada majlis itu, Abdul Taib berkata dua pakar arkeologi dari Universiti Nevada Dr Richard dan Sheilagh Brooks yang menjalankan penyelidikan tentang rangka itu membawanya ke Amerika Syarikat antara 1965 dan 1966.
Katanya mereka telah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu namun sehingga kini tiada satu pun diterbitkan.
Kesemua rangka manusia purba itu merupakan warisan yang tidak ternilai bagi Sarawak dan Malaysia, justeru ia harus dibawa pulang untuk memudahkan pakar arkeologi tempatan menyelidik dan menganalisis penemuan itu, tambah beliau. — Bernama