Anwar sepatutnya berbangga dengan pencapaian Pakatan Haram kerana berjaya mengekalkan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan semasa PRU13. Apakah maksud Anwar untuk mewujudkan Bersih 4?
Adakah Anwar sendiri tidak mengiktiraf keputusan SPR di Permatang Pauh? Adakah Anwar merancang kekalahannya sendiri bagi membolehkan beliau bersara dan mencetuskan Malaysian Spring seperti yang diguris di kawasan kempen PKR menggunakan bendera berwarna-warni?
Akibat daripada kerakusannya, beliau kini dipanggil untuk membantu siasatan kerana mengadakan perhimpunan aman tanpa permit yang sah oleh pihak polis. Apakah yang bakal berlaku kelak? Adakah Anwar akan dipenjarakan sekali lagi?
Anwar harus terima kemenangan BN pada PRU13
by Patricia Gari. Jumaat 10 Mei 2013
KUCHING: Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menerima kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) walaupun dengan majoriti kecil kerana itu adalah pilihan rakyat.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Pengerusi Kelab Penyokong BN Negeri Abdullah Saidol berkata, rakyat telah menunaikan pilihan mereka dan kerajaan BN telah berjaya menubuhkan kerajaan.
Beliau berkata negara telah melalui proses pilihan raya lepas dengan aman dan teratur sehingga pemerhati bebas dan negara luar mengiktiraf proses demokrasi diamalkan Malaysia.
“Beliau (Anwar) tidak berpuas hati dan enggan mengiktiraf apa-apa keputusan selagi beliau tidak menjadi Perdana Menteri.
“Itu sahaja yang beliau mahu dari dahulu hingga sekarang, rakan-rakannya yang menang di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sudah angkat sumpah.
“Apakah pilihan raya di kawasan mereka menang itu bersih dan semua kawasan yang mereka kalah itu tidak bersih,” soalnya apabila diminta mengulas penganjuran perhimpunan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ anjuran pembangkang di Kelana Jaya malam Rabu lepas.
Sebuah portal berita melaporkan pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 50,000 orang itu Anwar antara pemimpin pembangkang yang berucap, menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menurutnya turut menipu ketika mengendalikan pilihan raya lepas.
Orang ramai yang datang termasuk Anwar serta rakan seperjuangannya memakai pakaian serba hitam sebagai tanda terkuburnya rejim BN dan UMNO diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar turut dipetik dalam ucapannya antara lain berkata Pakatan Rakyat akan tetap berjuang untuk menumbangkan rejim tidak sah dipimpin Najib dan memastikan 30 kerusi yang didakwa ditipu BN akan ditawan kembali.
“Apa lagi yang Anwar mahu? Kalau ada yang tak betul atau kecurigaan dalam Pilihan Raya Umum lalu, bawalah ke mahkamah tetapi saya percaya Anwar akan katakan mahkamah kita mungkin tidak adil.
“Anwar tidak peduli soal keamanan atau kesejahteraan awam, bagi beliau yang penting ialah agenda politiknya yang semakin keji dan hina.
“Mana beliau mendapat wang begitu banyak untuk membiayai pilihan raya ini dan sudah tentu perhimpunan semalam (kelmarin) memerlukan perbelanjaan yang besar,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah juga berpendapat Anwar harus mengemukakan petisyen di Mahkamah Tinggi jika tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13 bukannya mengadakan perhimpunan atau demonstrasi jalanan.
Penganjuran perhimpunan seumpama itu katanya, hanya mengundangkan banyak masalah dan ketidakselesaan kepada orang awam dan pada masa sama menjejaskan keyakinan pelabur luar untuk melabur di Malaysia.
“Sama ada ini ‘tsunami Cina’ atau ‘tsunami Malaysia’ itu bukannya isu sekarang, yang penting sekarang ialah BN menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN adalah pemenang yang sah dan berhak membentuk kerajaan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan Anwar sebagai ‘pelampau’ dan seorang yang tidak boleh menerima kenyataan.
“Seolah-olah beliau sahaja yang betul. Kita tidak boleh menerima pemimpin seperti ini. Penganjuran perhimpunan ini adalah untuk menghasut rakyat membenci kerajaan dan mendatangkan ketidakstabilan kepada negara.
“Kelemahan dan kesalahan sistem adalah pendapat dan pandangan beliau dan kawan taksubnya sendiri.
“Kebanyakan orang lain menerima sistem ini, jangan bebankan rakyat dan negara dengan ketaksubannya itu. Ini tidak wajar dan tidak demokratik,” tegasnya.