PERMATANG PAUH 5 April – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerima kejutan pada hari pertama program jelajahnya di sini, apabila seorang ahli parti itu meminta ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding pada pilihan raya kecil nanti.
Wan Azizah yang ketika itu menghadiri program sembang santai dan beramah mesra dengan peniaga di Uptown Bandar Perda tidak memberi sebarang reaksi terhadap cadangan tersebut, namun menerima surat berkenaan.
Ahli PKR berkenaan, Rusly Yusof turut mencadangkan kepada Wan Azizah supaya pembangkang meletakkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai calon.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Rusly berkata, cadangan tersebut merupakan haknya sebagai pengundi berdaftar di Permatang Pauh.
Malah, dia turut menyifatkan adalah sesuatu yang membosankan jika PKR meletakkan Wan Azizah atau anak-anaknya sebagai calon.
“Sampai bila telinga rakyat hendak disumbatkan dengan cerita tentang Anwar, Wan Azizah, Nurul Izzah dan terbaharu, Nurul Nuha,” ujarnya.
Tambah Rusly, sekiranya PKR tetap memilih ahli keluarga Anwar, keputusan itu memberi gambaran seolah-olah parti berkenaan ketandusan calon yang berkelayakan.
Dalam masa sama, Rusly turut mendesak Wan Azizah menjelaskan sampai bila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu akan membiarkan dirinya dipergunakan golongan tertentu dalam parti bagi mencapai matlamat politik.
“Saya menjelaskan kepada beliau menerusi surat itu bahawa rakyat terutamanya anak muda bukan lagi boleh dicucuk hidung seperti sesetengah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),” katanya.
Berkenaan cadangan supaya Mat Sabu dipilih menjadi calon, jelas beliau, ini kerana faktor pengalaman yang dimiliki pemimpin Pas berkenaan, selain boleh memainkan peranan menyatukan kembali pakatan pembangkang yang hampir berpecah ketika ini.
“Mat Sabu bakal sambung kembali jambatan yang telah runtuh dan sekali lagi saya merayu, tamatkanlah era keluarga Anwar di sini,” katanya.
Bagaimana pula surat yang dikeluarkan oleh Rafizi Ramli ni? Adakah Azmin Ali lebih hebat kerana mahu meletakkan proksinya di Permatang Pauh?