Sebelum ini hanya SKWong sahaja yang akan dicalonkan untuk jawatan presiden oleh CWC. Kini Chin pula yang baru dicalonkan oleh 33 daripada 43 cawangan di seluruh Sarawak.
Adakah ini bermakna kerusi presiden akan berada di Miri semula?
Posted Utusan Borneo on October 16, 2011, Sunday
KUCHING: Penyertaan Setiausaha Penganjur Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin dalam perebutan jawatan presiden parti akan memberikan lebih banyak pilihan kepada perwakilan.
Timbalan Setiausaha Agung SUPP, Dato Sri Wong Soon Koh memberitahu, kumpulan mereka tidak mempunyai masalah terhadap ‘cadangan pencalonan’ Chin, memandangkan parti itu mengamalkan demokrasi.
“Sesiapa sahaja boleh meluahkan hasrat untuk ber tanding. Jika Peter Chin ingin bertanding, ia satu perkara yang baik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sebelum ini, Wong memberitahu akan bertanding jawatan presiden bagi menentang Bendahari parti, David Teng. Jika benar Chin akan bertanding ini, bermakna jawatan tersebut setakat ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
SUPP akan mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) pada Disember ini.
Jawatan presiden dipertandingkan selepas Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mengumumkan untuk bersara daripada politik ekoran kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau pada Pilihan Raya Negeri, 16 April lepas.
Parti komponen BN tersebut kini berdepan dengan cabaran memulihkan sokongan para pengundi Cina berikutan kekalahan teruk pada pilihan raya itu.
Justeru, Wong berkata, kumpulannya yang dianggotai Timbalan Setiausaha Agung II Datuk Francis Harden, dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Datuk Lee Kim Shin, Ranum Mina, Dr Jerip Susil dan Dr Johnical Rayong, akan menyahut seruan dalam memberi nafas baru kepada SUPP.
“Kumpulan kita bergerak di akar umbi sejak sekian lama dan menerima sokongan dari kawasan Utara, Tengah dan Selatan.
“Mereka telah menyatakan sokongan dan mengamanahkan kita untuk memikul tanggungjawab dan ini merupakan cabaran besar untuk kami dan kami sedia melakukannya,” katanya.
Katanya, perkara pertama yang bakal dilakukan jika dipilih menjadi presiden ialah memperkenalkan kepimpinan pusat kepada setiap bahagian SUPP di seluruh negeri demi perpaduan parti.
Beliau menegaskan perebutan jawatan presiden tidak membabitkan agenda peribadi kerana fokus mereka adalah untuk mengukuhkan semula parti.