Baru Bian merupakan orang yang pertama patut membeli buku Datuk JC Fong? Dia perlu tahu dengan lebih mendalam lagi undang-undang NCR Sarawak agar dia boleh menang banyak lagi kes-kes NCR. Tidak cukup kerana setakat memenangi Mangkang Menua kini Baru Bian dapat menang semua!!!
Fahami undang-undang NCR
by Sandy Mark Luna. Posted on March 15, 2011, Tuesday
Pemahaman mendalam elak cetus kontroversi kekang pembangunan tanah di negeri ini
Foto credits: theborneopost.com UNTUK KENANGAN: JC Fong (kanan) menyampaikan buku ‘Law On Native Customary Land In Sarawak’ kepada Taib sebagai tanda penghargaan merasmikan pelancaran bukunya, semalam sambil disaksikan oleh Asfia (kiri) dan Dr Chan (dua kiri). — Gambar Johnathan Bullet
KUCHING: Pemahaman yang mendalam terhadap undang-undang tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dapat mengelakkan tercetusnya kontroversi yang boleh mengekang pembangunan tanah di negeri ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kontroversi tanah NCR di Sarawak hanya dapat dielakkan sekiranya semua pihak memgambil inisiatif untuk memahami undang-undang yang melibatkan tanah berkenaan.
“Kita tidak harus membiarkan manfaat daripada pembangunan dibayangi kontroversi… namun ia dapat dileraikan sekiranya undang-undang (tanah) benar-benar difahami,” katanya ketika berucap menyempurnakan Pelancaran Rasmi Buku ‘Law On Native Customary Land In Sarawak’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Speaker DUN Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan mantan ketua peguam negeri yang juga penulis buku itu, Datuk JC Fong.
Taib berkata, sekiranya undang-undang tanah dapat difahami, maka lebih sejuta hektar tanah NCR di negeri ini dapat dimajukan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah.
Menurutnya, sejumlah besar masyarakat Bumiputera di Sarawak boleh mendapat manfaat daripada tanah NCR memandangkan lebih sejuta hektar tanah menunggu untuk dimajukan.
“Ia telah menimbulkan banyak kontroversi tetapi kerajaan tidak boleh mengelak daripada merancang sistem yang lebih baik supaya lebih ramai penduduk Bumiputera dapat meraih manfaat dari-pada pembangunan tanah di Sarawak,” katanya.
Justeru, katanya adalah penting untuk mempunyai buku yang dapat mengumpul semua dokumen yang ada kaitan yang relevan dengan pembentukan NCR supaya kaum Bumiputera dapat menggunakan hak mereka untuk mendapat faedah ekonomi dan pada masa yang sama memelihara hak NCR supaya terus memberi manfaatkan kepada masyarakat Bumiputera.
Beliau memberitahu, walaupun keinginan untuk memelihara tanah bagi memelihara masyarakat Bumiputera dihormati, namun kerajaan juga menyedari keperluan membangunkan tanah secara moden demi kemajuan Bumiputera.
“Saya harap dengan mengetahui undang-undang NCR, penduduk Bumiputera akan menyokong kerajaan dalam memajukan tanah (NCR) seluas sejuta hektar di negeri ini,” katanya.