Bukan main asyik lagi mendengar petikan muzik tradisional dari Korea dan juga Mongolia. Bukan itu sahaja malah muzik tradisional dan moden dari benua-benua yang lain turut didendangkan pada pesta muzik bertaraf antarabangsa ini.
Pesta ini adalah acara tahunan yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak yang terletak di Santubong. Ia bermula dari 13 Julai hingga 15 Julai 2012.
Rebutlah peluang untuk menyaksikan muzik bertaraf dunia sekiranya anda berada di sekitar kawasan tersebut. Tidak rugi untuk hadir dari pagi hingga ke malam. Acara kemuncak pula akan diadakan pada keesokan malam! Jangan ketinggalan!
Berikut adalah gambar-gambar sekitar Pesta Muzik Hutan Hujan Tropika 2012.
Kehebatan pemain gitar tradisional pukau pengunjung bengkel RWMF
Posted on July 14, 2012, Saturday
MENGASYIKKAN: Eungyung Lee dari Korea (kiri) dan Amarbayasgalan dari Mongolia menunjukkan kemahiran memainkan alat muzik tradisional masing-masing.
SANTUBONG: Kehebatan empat pemain gitar dari tiga negara berbeza memukau pengunjung pada sesi bengkel yang berlangsung di Dewan Teater Kampung Budaya Sarawak sempena Festival Muzik Hutan Sedunia (RWMF) di sini semalam.
Gabungan keempat-empat pemain gitar dari Norway, Perancis dan Republik Demokratik Kongo (DRC) itu berjaya menghasilkan irama muzik yang mengasyikkan dan bertambah hebat dengan paluan dram oleh pemain dram Kanda Bongo.
Sepanjang tempoh 45 minit bersama pengunjung pada sesi bengkel itu, kesemua pemuzik yang terlibat teruja menonjolkan kemahiran memetik gitar masing-masing diiringi dengan paluan dram oleh kumpulan Kanda Bongo dari DRC.
Bermula dengan pemain gitar Tore Bruvoll dari Norway, pengunjung yang memenuhi dewan teater tidak berganjak untuk menyaksikan demonstrasi daripada pemuzik-pemuzik terbabit.
Dua pemain gitar dari Kanda Bongo, DRC iaitu Belangeni Jeannot Musumbu dan Emmanuel Maleso menghangatkan lagi dewan teater sejurus memainkan muzik rancak mereka khas untuk peminat RWMF.
Fabien Guilloteau dari kumpulan La Zikabilo, Perancis kemudiannya merancakkan lagi suasana bengkel dengan petikan gitar dan lagu Perancisnya diiringi dengan paluan dram dan petikan gitar Kanda Bongo serta Norway.
Menurut Tore Bruvoll, bengkel RWMF merupakan pengalaman yang amat bermakna kepadanya dan rakan-rakan pemuzik yang menyertai festival kali ini.
“Ini adalah pengalaman yang amat berharga kepada kami kerana dalam masa yang singkat kami dapat menghasilkan satu irama muzik baharu hasil daripada gabungan pelbagai genre muzik.
“Tidak dapat digambarkan betapa indahnya muzik yang dihasilkan… apabila muzik Norway digabungkan dengan muzik Perancis dan diperindahkan lagi dengan muzik Republik Demokratik Kongo,” katanya.
Selain bengkel Dewan Teater turut berlangsung acara yang sama di ruai Rumah Panjang Iban menyaksikan dua pemain alat muzik tradisional Korea dan Mongolia.
Sesi bengkel bermula jam 2 petang hingga lima petang di tiga lokasi iaitu Dewan Teater, Rumah Panjang Iban dan Dewan Lagenda di mana setiap lokasi menyaksikan tiga sesi menampilkan kumpulan muzik berlainan.
- Posted using BlogPress from my New iPad