Posted on Utusan Borneo September 7, 2011, Wednesday
KUCHING: Kesediaan tokoh korporat terkemuka Dato Sri Mahmud Abu Bekir untuk bertanding di Parlimen Mukah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, disifatkan satu khabar gembira bagi konstituensi di bawah parlimen itu.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata dengan pengalaman yang luas sebagai usahawan beliau (Abu Bekir) mampu menjadi aset untuk membantu rakyat.
“Kesediaan ini adalah satu khabar yang sangat baik bagi orang di kawasan kita.
“Melalui rangkaian kerjasama beliau sebelum ini, ia dapat membantu orang di kawasan kami terutama membasmi kemiskinan dan meningkatkan lagi pendapatan serta ekonomi rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kursus Jati Diri Guru-Guru Tadika di Dewan Undangan Negeri lama di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Unit Pembangunan Sumber Manusia di Jabatan Ketua Menteri Dr Sabariah Putit dan Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan Malaysia Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.
Tambahan kata Fatimah, dari segi perwatakan Abu Bekir seorang yang sangat mesra rakyat, rendah diri dan mudah didekati, yang merupakan kriteria pemimpin yang dicari.
Jelasnya Mukah yang juga asal usul nenek moyang kepada Abu Bekir menjadikan beliau bukan orang asing bagi Parlimen itu.
Fatimah dalam pada itu memberitahu kriteria pertama bagi seseorang yang ingin berkhidmat untuk sesuatu kawasan adalah kemahuan serta kesediaan untuk berkhidmat.
“Kriteria seterusnya individu itu harus diterima pengundi atau masyarakat di kawasan dan saya percaya di kawasan saya, mereka tidak ada masalah untuk menerima beliau,” tambahnya.
Semalam akhbar menyiarkan Abu Bekir bersedia untuk bertanding di Parlimen Mukah pada PRU Ke-13 namun menyerahkan ia kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Negeri dan Pusat untuk membuat keputusan.