Gambar Hiasan Masyarakat Sikh doa keamanan negara
MIRI (25 Mac 2013 - Utusan Borneo): Persatuan Sikh Miri dan masyarakat Sikh di sini semalam mengadakan upacara sembahyang khusus iaitu mendoakan keamanan negara dan pasukan keselamatan yang berjuang di Sabah.
Upacara sembahyang khas itu diadakan di kuil mereka iaitu Kuil Gurdwara Sahib di Jalan Kubu di sini, pada jam 11.30 pagi dan dihadiri oleh ahli-ahli persatuan serta penganut Sikh.
Presidennya Gurmokh Singh memberitahu, upacara sembahyang khas itu diadakan bagi mendoakan pasukan keselamatan yang merupakan barisan hadapan pertahanan negara ini agar dilindungi Tuhan dan selamat dalam menjalankan tugas mereka tidak kira di mana juga di seluruh negara terutama yang bertugas di Lahad Datu, Sabah.
“Pada masa yang sama upacara ini untuk kami berdoa agar negara terus aman damai dan rakyatnya hidup harmoni.
“Paling pentingnya, kami mendoakan keamanan negara dan insiden pencerobohan yang mengancam kedaulatan serta keamanan negara ini, tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas selesai upacara sembahyang tersebut di kuil berkenaan, di sini semalam.
Katanya insiden yang berlaku di Lahad Datu, Sabah, merupakan ujian bagi semua rakyat tentang pentingnya mengekalkan perpaduan demi keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu katanya, pada 16 September iaitu sempena sambutan Hari Malaysia, kuil tersebut juga mengadakan upacara sembahyang khas bagi mendoakan keamanan dan kesejahteraan negara berpanjangan serta meraikan kemderdekaan negara dengan berdoa di kuil.
Sementara itu, upacara sembahyang semalam diketuai oleh ketua kuil, Harpal Singh.