Khidmat Tun Salahuddin sebagai Yang di-Pertua Negeri disambung
KUCHING: Khidmat Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, 90, sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah disambung bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 5 Disember ini.
Upacara mengangkat sumpah akan diadakan pagi ini di Dewan Lapau, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, demikian menurut kenyataan Jabatan Penerangan Sarawak semalam.
Pagi semalam beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Melawati di Putrajaya dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Tun Salahuddin dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak keenam pada 2001 bagi menggantikan Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor yang meninggal dunia pada 2000. Khidmatnya disambung pada 2004, 2006 dan 2008.
Beliau menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketiga dari 1977-1981, menjadikan beliau orang pertama memegang jawatan itu sebanyak dua kali.
Sebelum itu, beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak dari 1974 hingga 1977. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!