Dua kumpulan bertelagah harus bersemuka
Posted on December 11, 2011, Sunday
KUCHING: Kumpulan Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerja Datuk Peter Chin perlu bersemuka dan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, beliau yakin Kumpulan Wong masih setia bersama SUPP dan mereka harus menyelesaikan masalah yang beliau sifatkan sebagai masalah ‘keluarga.’
“Demi SUPP dan BN (Barisan Nasional), kita perlu kembali bersatu kerana ini adalah masa yang amat genting.
“Tidak ada ruang untuk saling bertelingkah kerana kita perlu berjuang menentang musuh (pembangkang),” katanya ketika ditemui pada Persidangan Perwakilan Delegasi (TDC) SUPP Ke-22 di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan boikot Wong dan kumpulannya yang dianggotai oleh wakil rakyat parti iaitu Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong Ngipa.
Ketegangan dalam parti wujud apabila Wong pada Khamis lalu mengumumkan keputusan akan memboikot TDC.
Tindakan itu diambil berikutan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti tidak mempedulikan aduan ahli-ahli yang mendakwa wujud penyelewengan dan kejanggalan dalam proses pemilihan beberapa cawangan pada November.
Laporan akhbar semalam menyiarkan hasrat Wong untuk menyokong Chin sebagai Presiden tetapi bertegas untuk tidak akan menghadiri TDC.
“Biar kami tegaskan di sini kami tidak ada niat untuk keluar parti, cuma kami memboikot TDC. Kami cintakan parti,” kata Wong yang dipetik sebagai berkata.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!