Benarkah BMF bantu Penan?
Posted on Utusan Borneo June 25, 2011, Saturday
Pertubuhan itu digesa dedahkan di mana wang yang dikutip beberapa tahun lalu bagi bantu kaum berkenaan
KUCHING: Tabung Bruno Manser (BMF) digesa agar mendedahkan di mana wang dikutip yang didakwa bagi membantu Penan.
Dennis Ngau (BN-Telang Usan) berkata, beliau tertanya-tanya di mana semua dana yang dikutip sejak beberapa tahun lepas.
Lebih menghairankan apabila berada di penempatan Penan beliau mendapati semua kemudahan seperti sekolah, klinik dan lain-lain disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Apa yang telah organisasi (BMF) lakukan untuk Penan, saya tidak pernah ternampak walaupun tandas dibina oleh mereka, apatah lagi klinik atau sekolah,” katanya.
Dennis, ADUN Telang Usan menggantikan Lihan Jok selepas pilihan raya negeri 16 April lepas, berkata demikian dalam sesi perbahasan terhadap ucapan pembukaan persidangan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Justeru, beliau melabelkan BMF dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang giat mengeksploitasikan Penan hanya mempunyai agenda politik bagi menjatuhkan kerajaan.
“Masyarakat Penan ini dijadikan objek atau bahan jualan oleh sesetengah pihak yang cuba mendapatkan sokongan dari dunia luar untuk memburukkan Sarawak dan pemimpin-pemimpinya yang bertungkus-lumus membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, beberapa pihak gemar membayangkan kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan Penan terutama apabila gadis kaum itu sering dijadikan sasaran isu rogol.
“Bagi saya itu langsung tidak benar sebab terbukti kerajaan telah mempunyai program pembangunan supaya Penan dibawa dalam arus pembangunan negeri.
“Malangnya ada pihak yang terus-menerus mempengaruhi kaum ini untuk kepentingan mereka,” katanya.
Sementara itu, Dennis berkata, terdapat penurunan daripada jumlah sokongan terhadap BN pada pilihan raya pada 16 April lepas di kawasan Telang Usan.
“Faktor utama yang membawa fenomena tersebut ialah isu-isu yang dibangkitkan pembangkang yang sedikit-sebanyak telah mempengaruhi pemikiran rakyat,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!