Penempatan baharu penduduk Tabuan Cemerlang dalam kajian: Wan Junaidi
Posted on November 5, 2011, Saturday
KUCHING: Penempatan baharu penduduk Kampung Tabuan Cemerlang di sini masih dalam kajian untuk dinaik taraf sebagai sebuah perkampungan yang lebih selesa.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk menyediakan infrastruktur serta kemudahan asas yang terbaik kepada rakyat.
“Bagi memberi keselesaan kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan pelan pembangunan infrastruktur yang terbaik di setiap kawasan termasuk di Kampung Tabuan Cemerlang, di sini “ katanya.
Bercakap kepada pemberita di kampung terbabit semalam, Wan Junaidi berkata, pelan khusus bagi penempatan penduduk Kampung Cemerlang sememangnya dalam perancangan.
Justeru, katanya, penduduk kampung terbabit akan menerima pelbagai perubahan dalam arus pembangunan yang bakal dilaksanakan.
“Kita telah pun menyediakan bekalan elektrik dan air di kampung ini (Tabuan Cemerlang), namun mereka tidak mempunyai jalan raya yang baik dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, sememangnya amat sukar bagi kerajaan membina jalan raya di kampung terbabit kerana kebanyakan tanah-tanah adalah milik penduduk kampung.
“Bagaimanapun, kerajaan akan menyediakan kawasan perumahan yang lebih baik dengan pelbagai kelengkapan dan kemudahan asas untuk para penduduk kampung terbabit,” katanya.
Terdahulu, Wan Junaidi dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni serta rombongan menyampaikan bantuan sara diri kepada penduduk miskin di kampung tersebut.
Seramai 42 penerima bantuan sara diri termasuk ibu tunggal, golongan kurang upaya serta keluarga yang tidak berkemampuan menerima sumbangan itu. Menurut Wan Junaidi, sumbangan itu adalah untuk meringankan sedikit bebanan penduduk terbabit menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan Ahad ini.
“Aktiviti ini merupakan program dekati rakyat yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Kuching khususnya menghulurkan bantuan kepada penduduk miskin di kawasan Santubong.
“Program itu secara umumnya dilakasanakan di beberapa tempat bagi kawasan Santubong dengan melibatkan aktiviti gotong-royong, demonstrasi masakan dan bantuan sara diri,” katanya.
Sehubungan itu, mengenai statistik kemiskinan di kawasan itu, Wan Junaidi mengakui memang masih terdapat ramai penduduk miskin di kawasan terbabit.
“Kita telah mendaftarkan penduduk-penduduk miskin dengan program e-Kasih dan saya akan tetap memantau dan memberi bantuan bagi membantu mereka (penduduk miskin),” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!