25 Mac, 2011 16:02 PM
Calon Payung Terjun: Pembangkang Tidak Serius Untuk Berkhidmat Kepada Rakyat
KANOWIT, 25 Mac (Bernama) -- Parti pembangkang yang mengambil jalan untuk menggunakan 'calon payung terjun' di kawasan pilihan raya luar bandar tidak serius tentang kemenangan atau berkhidmat kepada rakyat, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Sarawak Datuk Gramong Juna.
Masyarakat perlu menolak 'calon payung terjun' ini memandangkan mereka bukan sahaja kurang rekod pencapaian dalam memberi khidmat kepada rakyat, tetapi juga merupakan orang asing yang jahil terhadap keperluan penduduk setempat, katanya.
Gramong berkata demikian sebelum menyampaikan dividen berjumlah RM3.37 juta kepada pemilik tanah yang mengambil bahagian dalam Ladang Kelapa Sawit Kanowit (KOPP).
KOPP merupakan usahasama antara Boustead Group menerusi anak syarikatnya, Kuala Siddim Berhad, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) dan pemilik tanah dari lebih 100 rumah panjang di sini.
Pembayaran membabitkan peserta dari enam ladang akan dibuat secara berperingkat dan salah seorang daripada mereka menerima bayaran terbesar berjumlah lebih RM20,000.
Gramong berkata projek itu julung kali membabitkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.
"Usaha kerajaan untuk membangunkan tanah NCR bertujuan melaksanakan pembangunan tanah yang mendatangkan pulangan ekonomi secara lebih tersusun di kawasan luar bandar demi manfaat pemilik tanah.
"Ini adalah usaha jangka panjang untuk menyusun semula kehidupan mereka berdasarkan konsep moden dan semestinyalah bukan rancangan jahat untuk merampas tanah mereka seperti yang didakwa oleh pembangkang," katanya.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!