Professor Dr Sim merupakan nama yang tidak asing di Sarawak. Beliau merupakan anak mendiang Tan Sri Datuk Amar Sim Kheng Hong yang merupakan orang kuat SUPP suatu masa dahulu dan pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri di Sarawak. Kini Dr Sim menjadi penggerak dan nadi kepada unit kardiologi Hospital Umum Sarawak yang bertaraf antarabangsa.
Bulan lepas doktor yang berjiwa rakyat ini telah membantu keluarga setinggan untuk mendapat rumah impian. Golongan yang tinggal di tanah kerajaan ini telah meminta pertolongan beliau untuk mendapatkan rumah impian mereka memandangkan projek pembangunan terpaksa diteruskan di tapak perumahan mereka.
Dalam tempoh yang singkat keluarga setinggan ini telah dapat dihubungkan kepada saluran yang betul dan mereka terus mendapat kelulusan daripada Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar untuk dipindahkan di Matang. Jasa baik Dr Sim inilah yang mendapat perhatian daripada Ketua Menteri malah Perdana Menteri yang menyokong kuat usaha beliau untuk memartabatkan pembangunan dan meluhurkan 1Malaysia melalui rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
Menurut sumber yang dipercayai, Perdana Menteri telah memberi KPI kepada Dr Sim untuk mendapat balik kepercayaan masyarakat Cina di Pending menjelang Pilihan Raya Sarawak ke 10 ini. Semoga Dr Sim dapat mengambil kepercayaan masyarakat Cina di Pending untuk membawa mereka terus dalam arus pembangunan di Sarawak ini menjelang 2020.
14 keluarga setinggan akan mendapat rumah impian, kata Sim
Posted on March 14, 2011, Monday
KUCHING: Empat belas keluarga yang menduduki tanah kerajaan dari Sungai Apong dan Jalan Peace Selatan di sini akan mendapat rumah impian masing-masing di Sungai Tengah, Matang.
Keluarga terbabit telah mendapat surat tawaran pemilikan rumah berkenaan daripada Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar di bawah skim Rumah Mesra Rakyat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Surat tawaran itu diserahkan oleh Ketua Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Prof Dr Sim Kui Hian pada majlis yang diadakan di Dewan Masyarakat Sungai Apong Baru di sini semalam.
Difahamkan Dr Sim telah membantu keluarga itu dalam permohonan rumah berkenaan.
Permohonan keluarga berkenaan dikatakan mendapat kelulusan dalam tempoh 14 hari.
“Jika kamu memerlukan pertolongan, saya sedia membantu,” kata Dr Sim dalam ucapannya pada majlis itu.
Dalam ucapan pada majlis itu, Dr Sim kagum dengan pembangunan di Sungai Apong.
Katanya, 30 tahun yang lalu ramai kaum Dayak menetap di Sungai Apong dan mereka kini fasih berbahasa Mandarin kerana terdapat sekolah aliran Cina di situ.
Berikutan itu ramai daripada mereka kini bekerja sebagai kakitangan kerajaan atau dalam industri minyak dan gas.
Beliau juga menasihati penduduk Sungai Apong agar berjumpa dengannya jika ada masalah.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!