1) MAT lamat untuk menang besar2) JEN tera yang kukuh dan bersepadu3) PE rpaduan menerusi Gagasan 1Malaysia4) CAL on yang terbaik dan diterima pengundi
BN Hadapi Pilihan Raya Sarawak Berbekalkan Keyakinan Untuk Menang
MIRI, 22 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dengan berbekalkan keyakinan tinggi untuk menang melalui sokongan padu rakyat, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata kemenangan pada pilihan raya itu akan membolehkan pembangunan terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Berucap pada majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri di Pusat Sivik di sini, beliau berkata penduduk Miri khususnya telah melihat sendiri bahawa semua pembangunan yang wujud selama ini adalah hasil daripada ketekunan dan amalan bekerja secara berpasukan dalam BN.
"Pembangunan ini juga wujud hasil daripada perancangan yang baik serta kesedaran tentang manfaat yang perlu diberi kepada rakyat secara jangka panjang.
"Pembangkang tidak akan berani berangan-angan untuk mengatasi pembangunan yang telah kami capai sehingga kini, selain mengkritik apa yang telah kita lakukan," katanya.
Taib, yang menyandang jawatan Ketua Menteri sejak 1981, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak berkuatkuasa Isnin untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 diadakan.
Beliau, yang juga pengerusi BN negeri, berkata walaupun pilihan raya kali ini adalah yang terakhir baginya sebagai ketua menteri, beliau tidak mahu melihat struktur yang telah beliau bina untuk pembangunan Sarawak pada masa akan datang, lenyap begitu saja.
Katanya rakyat berhak menikmati peralihan kepimpinan berjalan lancar, tanpa wujud sebarang kekosongan yang boleh merencatkan rentak pembangunan.
"Tanpa kepimpinan yang baik, tidak akan wujud pembangunan," katanya.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), turut berucap pada majlis itu yang dihadiri para pemimpin BN tempatan, pemimpin masyarakat, ketua jabatan kerajaan dan anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!