21 April, 2011 20:20 PM
Desak Taib Undur Segera Menunjukkan Kejahilan Tentang Politik Sarawak - SUPP
MIRI, 21 April (Bernama) - Desakan seorang pemimpin MCA agar Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur segera kerana kehilangan sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya negeri yang baru berakhir jelas menunjukkan kejahilan tentang situasi politik di negeri ini.
Naib presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Sylvester Entri Muran berkata hari ini kenyataan naib-presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu itu amat 'tidak wajar' kerana Taib berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) negeri dalam mengekalkan majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan.
"MCA menggunakan senjata paling tajam untuk menyerang pihak yang melindungi mereka sendiri. Ini jelas merupakan kempen memburuk-burukan oleh MCA untuk menggugat kepimpinan negeri," katanya dalam kenyataan yang die-mel kepada Bernama di sini.
Beliau berkata kehilangan sokongan pengundi Cina di Sarawak bukan alasan kukuh untuk Taib berundur kerana beliau sendiri telah membuktikan kejayaannya memimpin BN dengan memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya itu.
"Hasrat para pemilih Sarawak harus dihormati, sebagai Ketua Menteri beliau mempunyai rancangan peralihan kuasa yang dapat menentukan Sarawak kekal stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi," tambahnya.
Entri, yang mengekalkan kerusinya di Marudi berkata, hanya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerima keputusan buruk dalam pilihan raya itu, kalah di 13 dari 19 kawasan pilihan yang ditandingi.
Namun parti-parti komponen BN yang lain seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah memenangi semua 35 kerusi yang ditandingi, sementara Parti Rakyat Sarawak (PRS) memenangi lapan kerusi. SPDP menang enam kerusi, tambahnya.
Daripada membuat kenyataan yang tidak wajar, Gan perlu memberi fokus kepada memperkukuhkan MCA sehingga dapat menjadi platform berkesan bagi masyarakat Cina dalam Barisan Nasional, katanya.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!