Wakil rakyat baru mulai turun padang tinjau masalah rakyatPosted on Utusan Borneo April 22, 2011, FridayMIRI: Masalah saliran dan banjir yang membelenggu penduduk Kampung Siwak Jaya Bakam telah mendapat perhatian wakil rakyat kontituensi Lambir yang baru, Ripin Lamat. Ripin ketika menemui penduduk kampung berkenaan semalam memberitahu, beliau berjanji akan merujuk masalah tersebut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Saya akan berhubung kepada pihak JPS dan akan memastikan mereka mengkaji dan seterusnya mengatasi masalah saliran di kampung ini,” jelasnya.
Pelan bersifat jangka panjang penting agar kawasan kampung tidak terus berdepan masalah sama pada masa depan. Beliau juga berharap JPS akan mempercepatkan kerja-kerja membina parit banjir di kampung itu.
Ketua Kaum Madani Wahet memberitahu, JPS sebelum ini berjanji untuk mengatasi masalah parit dan banjir di kampung itu setelah masalah penduduk itu disiarkan di akhbar tempatan. Selain banjir, jalan masuk utama kampung itu juga rosak dan berlubang.
“Kampung kami sering mengalami banjir kilat setiap kali hujan lebat dan jalan terputus kerana ditenggelami air yang bertakung,” jelasnya.
Sebanyak 50 rumah dengan seramai 200 penduduk menetap di kampung berkenaan. Selain kampung Siwak Jaya, Ripin turut melawat penduduk Kampung Bakam dan berterima kasih kepada mereka kerana menyokong dan mengundi beliau semasa pilihan raya lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!