Saya tidak akan berganjak walau seinci pun: Francis Siah
Posted on Utusan Borneo, May 19, 2011, Thursday
KUCHING: Biar makin banyak pihak mendesak agar Movement of Change Sarawak (MoCS) atau Gerakan Untuk Perubahan Sarawak, membatalkan rancangannya untuk mengadakan demonstrasi, namun penyelarasnya Francis Siah enggan berganjak walau seinci dengan keputusan tersebut.
Sebaliknya beliau menasihatkan cawangan-cawangan Pemuda PBB agar tidak membuta tuli dalam mempertahan-kan para pemimpin mereka termasuk Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
MoCS baru-baru ini memberi tempoh kepada Taib, Presiden PBB, meletak jawatan sehingga 13 Ogos ini dan mendakwa akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran sebagai protes.
Setakat ini, Pemuda PBB Zon Kuching, Bintulu dan Samarahan sudah membuat laporan polis berasingan agar disusuli pihak berkuasa dengan siasatan terhadap Francis kerana perhimpunan itu didakwa bakal mengundang huru-hara.
Secara umum, Pemuda PBB di kawasan-kawasan tersebut membantah tindakan MoCS yang dikatakan bercanggah dengan keputusan Pilihan Raya Negeri ke-10, yakni terus memberi mandat kepada BN sebagai pemerintah dan Taib sebagai Ketua Menteri.
Francis ketika dihubungi semalam berkata, Pemuda PBB perlu mengadaptasi budaya politik baru agar tidak sekadar terikut-ikut dengan pemimpin.
“Jika pemimpin anda melakukan sesuatu yang salah, anda tidak wajar takut memberitahu tentang kesalahan itu.
“Semua ahli-ahli Pemuda PBB adalah rakan-rakan saya dan saya gemar untuk memberi mereka nasihat sebagai orang tua,” katanya yang berada di Kota Kinabalu.
Kelmarin, Ketua Pemuda PBB Zon Kuching Wan Hamzah Wan Paie membuat laporan di Balai Polis Pusat, dan di Bintulu, Ketua Pemuda PBB Jepak Pandi Suhaili muncul dengan laporan di Balai Polis Bintulu, manakala sehari sebelum itu, Hamzah Brahim mewakili Pemuda PBB Zon Samarahan membuat laporan di Balai Polis Samarahan.
Sambil mempertahankan pendirian beliau yang tidak berbuat apa-apa perkara menyalahi undang-undang, Francis berkata, polis belum menghubungi atau mengambil keterangan daripada beliau berikutan dua laporan yang dibuat kelmarin.
Selain Pemuda PBB, sebelum ini, Senator Datuk Idris Buang pernah menggesa polis menyiasat MoCS.
“Kita tidak ada menyentuh isu yang sangat sensitif berhubung kaum dan agama,” katanya lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!