Tindakan Francis Siah, PBB Kuching serah kepada polis
Posted on Utusan Borneo, June 15, 2011, Wednesday
KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching tidak akan menghantar memorandum lanjut kepada Menteri Dalam Negeri berhubung laporan dibuat terhadap tindakan Francis Siah.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Zon Kuching, Wan Hamzah Wan Paie berkata atas keyakinan mereka terhadap kebijaksanaan dan ketelusan institusi polis negara, maka mereka menyerahkan sepenuhnya siasatan kes kepada pihak polis.
Menurut beliau pihaknya yakin bahawa pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Francis Siah hasil siasatan penuh yang akan dijalankan nanti.
“Disebabkan siasatan dan tindakan dari pihak polis terhadap Francis Siah telahpun dilaksanakan, maka tidak ada keperluan untuk pihak kami menghantar memorandum lanjut kepada Menteri Dalam Negeri.
“Pada masa yang sama kami membantu pihak polis untuk sentiasa memantau pergerakan Francis Siah demi memastikan kita berjaya mencegah unsur-unsur subversif dan huru-hara daripada melanda negeri kita,” katanya melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, semalam.
Pada 17 Mei lalu, Pemuda PBB Zon Kuching membuat laporan polis terhadap tindakan Francis Siah yang mengugut untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran sekiranya Ketua Menteri enggan meletak jawatan sebelum 13 Ogos 2011.
Namun baru-baru ini menurut Wan Hamzah, pihaknya telah dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bahawa pihak polis telahpun memulakan siasatan terhadap Francis ekoran laporan yang dibuat dan juga beberapa laporan polis yang sama dibuat oleh Pergerakan Pemuda PBB di seluruh Sarawak.
Justeru kata Exco Pemuda PBB Negeri itu adalah amat diharapkan agar Francis Siah mencontohi langkah mereka iaitu sentiasa akur dengan segala nasihat dan padangan dari pihak polis bagi memastikan ketenteraman negeri ini sentiasa terpelihara.
“Kami menyeru kepada rakyat negeri ini agar memulaukan pergerakan Francis Siah ini dan bersama mempertahankan kesinambungan politik pembangunan iaitu gagasan Yang Amat Berhormat Ketua Menteru yang telah berjaya membangunkan Sarawak sehingga ke tahap yang kita banggakan pada hari ini,” tegasnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!