SAHUR... Latif (baju merah) mengagihkan makanan kepada anggota KD Pahang bersempena Program Bersahur berkenaan |
ATM LINDUNGI ASET NEGARA latest!
by RUZAINI ZULKIFLI, ruzainiUB@gmail.com.
Posted on Utusan Borneo August 18, 2011, Thursday
Pembangkang jangan perlekeh, jentera pertahanan bukan membazir: Latiff
LABUAN: Pihak pembangkang harus berwaspada dalam memberikan komen mengenai pembelian aset pertahanan negara yang konon disifatkan membazirkan wang.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata keupayaan pertahanan negara dalam melindungi aset khususnya minyak dan gas di luar perairan Malaysia tetap diutamakan dan ini didorong dengan adanya aset berkenaan.
Menurutnya, aset yang mencecah nilai beberapa trilion ringgit di Laut China Selatan itu perlu dilindungi melalui kelengkapan teknologi serta tenaga manusia dalam memastikan keselamatan berterusan.
Sehubungan itu, beliau menyelar dakwaan pembangkang bahawa pembelian aset berkenaan merugikan dan disifatkan tidak munasabah.
“Pembangkang janganlah hanya tahu membuat tuduhan tidak berasas sahaja dalam pembelian aset sistem pertahanan negara dengan mengatakan bahawa ia hanya membazir wang. Inilah juga jentera perang yang akan mereka gunakan sekiranya jadi pemerintah,” katanya.
Tambah Latiff, pembelian kapal selam Scorpene yang dikatakan mahal turut dikritik hebat pihak pembangkang namun tidak ada gunanya membuat tuduhan liar kerana ia amat sensitif dan berkaitan dengan pertahanan negara.
“Scorpene akan digunakan sekiranya mereka jadi kerajaan, jadi kenapa mereka hendak perlekehkan aset kerajaan yang sediakan oleh pemerintah sekarang.
“Kalaulah mereka memerintah pada masa akan datang, bagaimana pula mereka akan berhadapan dengan krew dan anggota tentera daripada ketiga-tiga angkatan sedangkan pembelian-pembelian ini diperlekehkan.
“Itulah, kalau hendak jadi pembangkang haruslah kena jadi yang benar-benar first class. Maknanya aset-aset keperluan ketahanan negara tidak perlu diceritakan atau dikomen sehingga ke luar negara mengenai kelemahannya, ia tidak wajar dilakukan,” katanya.
Latiff berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Rondaan Laut di luar pantai Labuan dan Sabah serta Program Bersahur dengan tentera laut Malaysia atas kapal Kapal Diraja (KD) Pahang pada awal pagi kelmarin.
Hadir sama Panglima Angkatan Kapal Selam (PAKS), Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland Omar dan 68 anggota KD Pahang dalam aktiviti yang turut melibatkan pihak media bagi merasai pengalaman bersahur di atas kapal dari perairan Labuan menuju ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Kota Kinabalu (PTKK), Sepanggar dekat sini.
Menurutnya, kira-kira 200 pelantar minyak terdapat di luar pantai dan keselamatan perairan Malaysia berada di tahap optimum dan angkatan tentera Malaysia siap sedia menghadapi sebarang cabaran.
“Kita tidak perlu melakukan rekrutmen tenaga tambahan.
“Untuk jangka masa akan datang, kita bakal menambah enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) lagi dalam menjaga aset bernilai bertrillion-trillion ringgit ini,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!