Masyarakat diseru jaga reputasi Kuching sebagai bandar raya mesra pengunjung
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyeru kepada masyarakat supaya menjaga reputasi Kuching sebagai bandar raya mesra pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Menurutnya, imej yang ditonjolkan ini merupakan daya tarikan utama yang mendorong kepada kedatangan lebih daripada empat juta pengunjung ke bandar raya ini setiap tahun.
Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab warga Kuching untuk menjaga reputasi ini dan memupuk tabiat suka menjalin persahabatan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
“Kuching dikenali sebagai tempat yang mesra dan inilah sebabnya kenapa lebih empat juta pengunjung melawat Sarawak setiap tahun sekali gus membantu merangsang ekonomi.
“Oleh sebab itu, rakyat harus memupuk tabiat suka menjalin persahabatan menerusi program-program perjumpaan seperti sukan, karnival dan pelbagai lagi.
“Dengan cara ini, rakyat dan pengunjung dari dalam dan luar negeri akan akan merasa seperti berada di tempat sendiri sekali gus mencapai matlamat kita untuk menyatukan masyarakat di bawah satu bumbung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Festival Pesta Kuching 2011 di Taman Tasik Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini malam kelmarin (Sabtu).
Turut hadir isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Konsul Jeneral China di Kuching Li Shugang serta Datuk Bandar MBKS James Chan.
Mengulas mengenai festival itu, Taib berkata ia boleh dijadikan sebagai saluran terbaik untuk rakyat bergaul antara satu sama lain dalam suasana majmuk.
Beliau turut mencadangkan acara seperti piknik dan berkaitan sukan diadakan dengan lebih konsisten untuk menarik penglibatan belia.
“Kita menyedari kepentingan untuk menghimpunkan belia kita supaya mereka dapat hidup gembira pada masa kini dan akan datang di bandar raya kita.
“Apabila populasi semakin besar, usaha lebih gigih perlu dilakukan untuk meningkatkan hubungan lebih erat di kalangan rakyat terutama penduduk bandar raya,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!