MoCS batal hasrat adakan perhimpunan
Posted on August 13, 2011, Saturday
KUCHING: Perhimpunan bertemakan ‘Berjalan Untuk Demokrasi dan Reformasi’, juga digelar ‘Perarakan Merah’ yang dijadualkan pada jam 2 petang ini dibatalkan.
Mengumumkan perkara itu di sini malam tadi, ketua Gerakan Mengubah Sarawak (MoCS) Francis Paul Siah berkata, pergerakan itu meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan.
“Sebagai penganjur, MoCS bertanggungjawab terhadap para peserta. Kami tidak mahu melihat sesiapa cedera di jalanan. Kami juga tidak mahu melihat ada orang ditahan kerana menyertai perarakan,” katanya.
Siah berkata, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon petang semalam dan bersetuju untuk menerima nasihat beliau tentang ketenteraman dan keselamatan awam.
“Ia adalah pertemuan yang menggalakkan dan saya mendengar nasihat beliau. Saya kini dapat menerima bahawa dalam kes 13 Ogos ini, tindakan polis setakat ini adalah demi kepentingan keselamatan awam dan bukan untuk kepentingan ahli politik. Ia juga sangat penting kepada kami,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!