Posted on Utusan Borneo September 2, 2011, Friday
MIRI: Masalah dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) seharusnya diselesaikan sendiri oleh parti dan tidak dipebesarkan di luar SUPP.
Pengerusi SUPP cawangan Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata, masalah yang dihadapi SUPP sepatutnya diselesaikan secara dalaman dan tidak perlu diketengahkan dalam media.
“Masalah SUPP adalah masalah dalaman sahaja. Ia tidak perlu dibincangkan di luar parti ataupun melalui pihak media.
“SUPP perlu diberi lagi masa untuk menyelesaikan masalah tersebut,” jelasnya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bersempena sambutan Hari Raya di sini, semalam.
Lee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan berhubung SUPP yang dibuat oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan disiarkan dalam salah sebuah akhbar Cina, baru-baru ini.
Akhbar tersebut memetik Taib sebagai berkata, SUPP perlu menukar kepemimpinannya jika itu yang diperlukan (oleh parti).
“Ini bukan masalah yang perlu diperbincangkan di dalam akhbar atau secara terbuka. Ini adalah masalah dalaman yang perlu diselesaikan secara dalaman juga. Parti ini (SUPP) memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” tambah Lee yang juga Menteri Muda Komunikasi.
Antara rumah yang dilawat Lee bersempena Hari Raya Aidilfitri semalam ialah Penghulu Ibrahim Karim, Ketua Kaum Usman Sulaiman, Ketua Kaum Salim Santol, Ketua Kaum Abang Hamdan Jas, Pengarah Kanan (Property) Naim Holdings Bhd, Radzali Alision dan Ketua Kaum Jus Abang Udin.
Turut menemani Lee dalam lawatan raya tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai dan beberapa ahli SUPP.
Lee turut mengadakan lawatan sama Rabu lalu dan di antaranya yang dikunjungi ialah Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Muhibbah, Hamdan Mud, Ketua Kaum Majenis Bakar, Penghulu Ahmad Raman dan Ketua Kaum Ali Mat.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!