Posted on September 30, 2011, Friday
KUCHING: Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menjelaskan bahawa portfolio barunya kini bermaksud semua tugasan, perkara dan tanggungjawab yang ditugaskan atau diserahkan oleh Ketua Menteri kepadanya untuk beliau uruskan bagi pihak Ketua Menteri.
“Ia mungkin tugasan umum atau tugasan khusus,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Katanya, dalam perkara ini, beliau akan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara berhubung pentadbiran tanah, sumber semula jadi, alam sekitar dan pemuliharaan.
Adenan yang juga ADUN Tanjung Datu berkata, di bawah pentadbiran tanah, beliau akan menjaga Jabatan Tanah dan Survei, pembahagian tanah kerajaan, penyambungan hak milik tanah (pengambilan tanah), sijil dan pajakan perlombongan, lesen mencari gali, kuari, pengurusan tanah dan pentadbiran tanah serta perkara-perkara yang ada kaitan dengan Lembaga Perancangan Negeri.
“Saya juga diamanahkan untuk menjaga penguatkuasaan dan penempatan tanah termasuk tanah NCR, rizab komuniti Bumiputera, kawalan operasi dan pengeluaran perlombongan, penempatan semula kampung setinggan, skim penempatan semula dan pengembangan kampung serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan tanah,” katanya.
Berhubung alam sekitar dan pemuliharaan, Adenan menjelaskan bidang kuasanya termasuk semua perkara berkaitan kawalan alam sekitar dan di bawah Ordinan Sumber Semulajadi dan Alam Sekitar dan Perintah Sumber Semulajadi dan Alam Sekitar (aktiviti yang dicadangkan) 1994.
“Berhubung perhutanan, hanya taman negara, rizab semula jadi, perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan berada di bawah bidang kuasa saya,” katanya tetapi menegaskan beliau tidak ada kuasa untuk memberi lesen bagi kegiatan pembalakan.
Adenan yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak menambah, beliau juga ditugaskan menjaga perkara-perkara yang pada asasnya isu persekutuan seperti polis dan pasukan keselamatan, RELA, Yayasan Anti-Jenayah Malaysia Cawangan Sarawak, SUHAKAM, Jabatan Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Penerangan dan Penyiaran.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!