Ketua Menteri mengingatkan kegiatan subversif sentiasa ada walaupun sudah mencapai kemerdekaan. Hari Pahlawan adalah hari untuk menjulang wirawan negara yang berjuang menentang kegiatan subversif untuk mencalarkan imej kemerdekaan negara.
Beliau berkata usaha untuk mengekalkan kemerdekaan menjadi semakin sukar setelah merdeka kerana tidak ramat yang sedar erti dan nikmat kemerdekaan. Semoga dengan pelancaran sebuah lagi siri kemerdekaan, maka akan lebih banyak lagi rakyat sedar tentang pengorbanan anggota polis khususnya dalam menjaga keamanan negara.
Pelihara nikmat merdeka
INI DIA: Taib menunjukkan buku ‘Crimson Tide Over Borneo...Untold Police Stories’ pada majlis pelancarannya di Kuching, semalam. — Gambar Jeffey Mostapa |
KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan agar tidak bersikap ambil mudah terhadap keamanan dan kestabilan yang dinikmati sekarang.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata akan sentiasa ada kumpulan yang mencari ruang dan peluang untuk menggugat kemerdekaan negara.
Beliau menambah, kemerdekaan yang dikecapi sekarang bukan sekadar melihatkan proses menandatangani dokumen kemerdekaan antara Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) dengan kerajaan British tetapi melibatkan pengorbanan anggota keselamatan serta orang awam.
“Semuanya bermula apabila Tunku pergi ke Singapura dalam usahanya menubuhkan Malaysia… Ini dimulai dengan empat anggota polis di Limbang telahpun terkorban kerana pemberontakan (pada 1961).
“Ini diikuti dengan pembunuhan seorang anggota polis yang terlibat dalam pilihan raya negeri yang pertama pada 1969.
“Di situ kita dapat melihat kemerdekaan negara dilahirkan oleh banyak pengorbanan, banyak usaha semua pihak dan kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Crimson Tide Over Borneo…Untold Police Stories’ di Sarawak Club, di sini semalam.
Buku tersebut ditulis oleh James Ritchie dengan kerjasama mendiang ACP (Bersara) Thoo Kim Nyian dan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat serta Ahli Parlimen Santubong.
Taib berkata bukan sekadar anggota polis yang terkorban sepanjang tempoh darurat di Sarawak orang awam terutama kaum Cina ramai terbunuh di Sarikei ketika komunis cuba merampas Hulu Rajang.
“Jadi hargainya pengorbanan anggota keselamatan kita dengan meraikan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun,” tambahnya.
Mengenai pelancaran buku tersebut Taib berkata ia adalah satu penghargaan kepada polis yang telah banyak berkorban untuk kemerdekaan negara dan mengekalkan keamanan dinikmati hingga kini.
“Anggota polis telah melaksanakan tugas mereka dengan penuh hati kerana sayangkan negara dan yakin kemerdekaan yang akan dicapai nanti membawa makna masa depan cerah untuk generasi akan datang.
“Hakikatnya untuk mempertahankan keamanan negara rakyat harus mempersiapkan diri menghadapi apa jua situasi dan melengkapkan diri dengan peralatan terbaik, dilatih dan menaik taraf kemahiran sedia ada.
“Ini kerana keadaan yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau menambah, ketika ini polis berdepan jenayah yang terancam dan pergerakan subversif yang sudah tentu menuntut polis mengubah kaedah pencegahan dan pemantauan.
“Rondaan sahaja tidak mencukupi, polis perlu melakukan penyelidikan dan kajian mengenai bentuk dan cara jenayah dilakukan penjenayah.
“Ini sudah tentunya bukan perkara yang mudah,” katanya.Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar serta bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Haniff Omar (1974-1994)
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!