Tuduhan Belanjawan 2012 Tidak Realistik, Pembangkang Mati Akal Untuk Serang Kerajaan, Kata PM
KUALA SELANGOR, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tuduhan pembangkang bahawa Belanjawan 2012 tidak realistik menunjukkan mereka mati akal dan tidak mempunyai jawapan bagi menyerang kerajaan.
Beliau berkata Belanjawan 2012 yang dibentangkan semalam merupakan sesuatu yang boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan serta bukan hanya janji-janji kosong.
"Untuk Bajet 2012 kita guna pakar-pakar dari Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain, bukan pak pandir. Semua pandai-pandai dan ada kelulusan Phd.
"Bajet kita bukan untuk sedapkan hati rakyat, kita tidak tipu rakyat. Sebaliknya ia merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya semasa berucap pada majlis lawatan mesra rakyat di Ladang Tuan Mee, Ijok di sini, hari ini.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam bersama lebih 3,000 masyarakat setempat serta menyampaikan sumbangan Deepavali dan Hari Raya Aidil Adha kepada 600 penerima.
Najib berkata Belanjawan 2012 dibentangkan bertujuan supaya kerajaan dapat membina rakyat dan mensejahterakan negara.
Beliau berkata kerajaan juga terlebih dahulu telah mengkaji dengan mendalam apakah sebenarnya keperluan rakyat.
"Dalam gagasan dan falsafah 1Malaysia saya telah gariskan beberapa tunggak, antaranya dasar kita mesti bersifat keterangkuman, erti kata di setiap ceruk pelusuk negara tidak kira bandar atau desa, tidak kira mana-mana kumpulan etnik atau kaum setiap warganegara Malaysia mesti mendapat pembelaan dan perlindungan daripada kerajaan.
"Sesuai dengan prinsip itu maka Belanjawan 2012 yang dibentangkan semalam telah menepati prinsip asas yang antaranya ialah untuk menentukan semua golongan dan kelompok masyarakat mendapat faedah," katanya.
Perdana Menteri berkata dalam Belanjawan 2012, kebajikan masyarakat kaum India juga diutamakan di mana kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM50 juta untuk menyediakan kemudahan asas yang sempurna kepada masyarakat kaum India yang menetap di kawasan ladang.
"Khusus bagi Ladang Tuan Mee, saya dah bincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif KL Kepong, Tan Sri Lee Oi Hian sebentar tadi dan pihak beliau telah setuju supaya KL Kepong ambil tindakan segera keluarkan belanja yang dapat bekalkan bekalan air bersih dan berkualiti untuk ladang ini," katanya.
Najib berkata sebelum pembentangan belanjawan, beliau telah mengambil tindakan memohon kepada semua pemilik ladang estet sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta untuk menaikkan gaji pekerja estet.
Perdana Menteri berkata beliau difahamkan bahawa sebahagian besar pekerja ladang Tuan Mee telah menerima kenaikan gaji sebanyak RM200 sebulan.
"Saya berharap dalam masa terdekat semua (pekerja estet) akan dapat kenaikan gaji...kita akan jaga kebajikan para pekerja semua," katanya.
Beliau juga berkata beberapa masalah berkaitan perkhidmatan bas dan banjir yang dikemukakan Penyelaras BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K.Partiban akan segera diberi perhatian.
"Seperti diumumkan menerusi Belanjawan 2012 semalam juga, setiap isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan akan menerima RM500. Ini bermakna setiap keluarga yang tinggal di estet di seluruh negara akan menerima RM500 pada tahun depan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M.Kayveas dan barisan kepemimpinan BN Selangor.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!