Dr Jerip telah turun padang untuk melaksanakan tugas beliau sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam. Menurut laporan dalam akhbar tempatan, dia sedang meneliti masalah air di Asajaya. Kualiti air yang rendah akibat daripada sistem perpaipan dan sistem perparitan di kawasan yang kurang cekap itu perlu diambil tindakan segera.
Masalah ini dikatakan berlarutan sejak tahun lalu. Tahniah YB kerana mengambil berat masalah kesihatan di Asajaya. Semoga kualiti air bersih dapat ditingkatkan bersama.
Masalah kualiti air yang rendah di Asajaya akan dibincang dengan JKR, kata Dr Jerip
KUCHING: Masalah kualiti air yang rendah di Asajaya sehingga menjejaskan tahap kesihatan penduduk di 37 kampung iaitu ratusan penduduk telah mengalami cirit-birit dan muntah telah menarik perhatian Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil yang mahu ia ditangani dengan segera.
Justeru, beliau berkata akan membincangkan isu berkenaan bersama pihak bertanggungjawab berkaitan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan segera.
“Kita bimbang mengenai masalah yang berlaku di Asajaya ini di mana ramai penduduk sering mengalami cirit-birit dan muntah kerana kualiti bekalan air yang rendah,” katanya semasa sesi taklimat bersama Jabatan Kesihatan di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.
Menurut Jabatan Kesihatan yang bertindak memantau tahap kualiti air di situ, masalah tersebut adalah berpunca daripada masalah kekurangan bekalan air di Loji Rawatan Air Asajaya selain sistem perpaipan di setiap kampung juga tidak teratur.
Loji air hanya mengandungi sedikit air dan sumber air juga amat teruk manakala sistem perpaipan tidak teratur di mana terdapat batang paip yang diletakkan di dalam parit adalah punca bekalan air tercemar walaupun telah diletakkan klorin.
Sehubungan itu, segala usaha untuk memastikan bekalan air berkualiti sukar dilaksanakan menyebabkan masalah yang melanda penduduk sejak tahun lepas itu berlanjutan sehingga hari ini.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Dr Jerip yang juga ADUN Bengoh berkata, antara tindakan yang harus dilaksanakan ialah memperbaiki sistem perpaipan di setiap kampung dan meningkatkan tekanan air.
“Sistem perpaipan perlu diperbaiki dan bekalan air harus ditingkatkan,” katanya.
Berkenaan penyakit meliodiosis dan leptospirosis, Dr Jerip berkata, ia tidak begitu membimbangkan di mana Jabatan Kesihatan kini telah menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.
Di Sarawak, meliodiosis telah diklasifikasikan sebagai penyakit endemik manakala risiko leptospirosis sentiasa ada meskipun kedua-duanya merekodkan kadar kes yang rendah jika dibandingkan dengan penyakit denggi, malaria dan tuberculosis.
“Penyakit ini sememangnya membimbangkan tetapi ia tidak akan menyebabkan kematian seperti mana kes di Bakun,” kata Dr Jerip.
Bagi meliodiosis , kes lebih banyak direkodkan di Kapit, Miri, Bintulu dan Belaga manakala leptospirosis di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Justeru, usaha pencegahan dan pengawalan kedua-dua penyakit ini yang sukar telah menuntut kerjasama penduduk setempat supaya menjaga kebersihan persekitaran dan tempat tinggal.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!