KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud enggan mengulas mengenai cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan tempatan yang akan menawarkan laluan udara khusus bagi Sarawak dan Sabah.
Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina semalam, Taib memberitahu beliau belum mahu bercakap mengenai rasionalisasi laluan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS)-Air Asia.
“Tujuan utama saya di sini adalah untuk melancarkan kempen menarik perhatian orang ramai kepada pendidikan teknikal.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai rasionalisasi atau seumpamanya,” katanya ketika ditemui selepas membuka Persidangan Pembangunan Sumber Manusia Teknikal Kebangsaan, di sini, semalam.
Apabila ditanya selanjutnya, Taib menegaskan beliau tidak mahu mengulas mengenai perkara yang tidak ada kaitan dengan majlis semalam.
Dalam laporan akhbar Isnin lepas, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Cina Bintulu Datuk Sia Hiong Ngie mencadangkan kerjasama dimeterai antara anak syarikat MAS, MASWings dan syarikat penerbangan tempatan lain untuk menyediakan khidmat penerbangan di Malaysia Timur termasuk Brunei.
Beliau berkata, dewan menerima banyak aduan tentang perkhidmatan udara yang semakin teruk di negeri ini sehingga turut menjejaskan pesakit di kawasan luar bandar.
Sementara itu, ramai tokoh terkemuka menyuarakan harapan agar sebuah syarikat penerbangan tempatan, Hornbill Skyways menyediakan perkhidmatan di Sarawak ekoran penggabungan MAS-AirAsia.
Antara mereka ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) See Chee How yang menyatakan kerajaan negeri mesti bertegas mengenai isu pembatalan itu kerana ia akan menjejaskan industri pelancongan dengan serius jika tidak ditangani.
See berkata, kerajaan negeri harus campur tangan dan mengemukakan bantahan mengenai pembatalan laluan Kuching-Kuala Lumpur yang ditawarkan oleh Firefly pada 31 Oktober ini selain laluan Kuching-Johor.
“Masanya sudah tiba untuk Sarawak dan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!