BN akan buat pelarasan pembahagian kerusi pilihan raya: Najib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan memulakan proses pelarasan kepada formula pembahagian kerusi pilihan raya yang kini diguna pakai bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata pelarasan tersebut perlu untuk menyesuaikan dengan keadaan setempat sama ada telah berlaku perubahan politik dinamik.
“Formula pembahagian kerusi dibuat pada 2004 dan dipakai pada 2008. PRU ini kita kena tengok sama ada berlaku perubahan politik dinamik yang menyebabkan kita perlu pelarasan.
“Kita akan runding dengan pemimpin-pemimpin parti BN untuk mencari formula terbaik pembahagian kerusi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Perwakilan Kebangsaan Parti Gerakan Ke-40 di Menara PGRM di sini, semalam.
Katanya semua pemimpin parti komponen BN pada asas dan semangatnya bersetuju untuk bertolak ansur dan beliau akan berunding dengan pemimpin-pemimpin parti komponen itu bagi mencari formula baru terbaik itu.
“Kita tidak akan rombak segala-galanya, tapi buat pelarasan pada tempat-tempat yang kita rasa perlu,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap di hadapan lebih 2,200 perwakilan persidangan itu, Najib berkata pelarasan itu akan membolehkan BN menilai semula kekuatan dan kelemahan parti bagi mencorak strategi PRU, termasuk dalam pemilihan calon-calon yang boleh menang.
Katanya semua ahli BN perlu meletakkan kepercayaan kepada pemimpin tertinggi BN untuk menentukan calon-calon boleh menang yang dipilih secara terperinci dan menyokong calon yang terpilih.
“Kita perlu memilih parti komponen terbaik untuk mewakili kita dalam setiap kawasan, kita akan pilih calon terbaik sebab kita nak menang besar,” katanya.
Najib dalam ucapannya juga menegaskan bahawa BN kini berada berada di satu persimpangan jalan yang besar dan PRU akan datang merupakan ujian paling besar bagi BN, yang bakal menentukan kelangsungannya.
Justeru katanya, semua pemimpin dan anggota BN tidak lagi boleh menganggap ‘urusan seperti biasa’ dalam landskap politik negara masa kini yang lebih mencabar.
Katanya, BN juga mesti membuktikan kepada rakyat bahawa ia merupakan pilihan yang lebih baik untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
“Kita mesti bersedia mengotakan janji, menemui rakyat dan mendapatkan sokongan rakyat,” katanya. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!