Politik matang graduan
by Sandy Mark Luna. Posted on November 2, 2011, Wednesday
Ia tidak wujudkan sikap berpuak sebaliknya lahirkan graduan yang berfikiran terbuka
KUCHING: Penglibatan mahasiswa dalam dunia politik tidak akan mewujudkan sikap berpuak-puak, malah akan melahirkan graduan yang lebih berfikiran terbuka.
Ketika ditemui semalam, Menteri Muda Pembangunan Sosial Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, beliau percaya pelajar universiti, selaku individu yang matang mampu menerima dan menilai isu daripada pelbagai sudut.
“Ini proses demokrasi. Proses kita menjadi lebih matang. Kalau sudah dapat masuk universiti, anda patut dapat melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.
“Kita harus dapat melihat sesuatu perkara itu dari pelbagai sudut, bukannya berfikiran sempit,” katanya yang juga Menteri Muda Perumahan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengisytiharkan Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (AUKU) 1971 sebagai tidak sah di sisi undang-undang.
Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak itu yang mengalu-alukan keputusan bijak Mahkamah Tinggi memberitahu, ia sekali gus mencerminkan proses demokrasi masih hidup mekar di negara ini.
Beliau turut menyifatkan seksyen itu agak ketinggalan memandangkan keadaan dunia yang berubah dengan kehadiran blog dan pelbagai rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook.
“Ini sesuatu yang kita nanti-nantikan. “Saya harap para pelajar universiti akan diberi kebebasan untuk bersuara dan mempertahankan mana-mana parti (politik) yang mereka sokong, asalkan tidak menjejaskan dan mengganggu pelajaran mereka,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan, dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen itu dalam AUKU tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.
Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadapai tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor 24 April, tahun lepas.
Hakim Hishamuddin dalam penghakiman 21 muka surat berkata, Seksyen 15(5)(a) adalah tidak rasional kerana ia menghalang pembangunan pemikiran kritis dan asli penuntut di mana objektif institusi pengajian tinggi berusaha untuk mencapainya.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Universiti seharusnya menjadi tapak semaian ahli reformis dan pemikir dan bukannya institusi untuk melahirkan penuntut ibarat robot.”
Tambahnya, kebanyakan penuntut universiti sudah mencapai usia matang di mana mereka boleh menjalin perjanjian, boleh berkahwin dan memikul tanggungjawab ibu bapa dan mengundi sekiranya mencapai usia 21 tahun.
“Namun secara ironi, mereka dimaklumkan secara sah tidak boleh berkata apa-apa yang boleh dianggap sebagai sokongan atau bantahan terhadap sebuah parti politik,” katanya.
2 ulasan:
biar belajar dulu...
study dulu elok...kalau dah tamat study baru nak masuk politik...yang barat tu x payah nak ikut...kita orang Malaysia...
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!