DAP perlu banyak belajar ‘seni mentadbir’: Masing
Posted on November 24, 2011, Thursday
KUCHING: Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) bahawa mereka masih ada banyak perkara yang perlu dipelajari tentang ‘seni mentadbir’ dan menasihati mereka supaya tidak berfikiran cetek apabila menganalisis kerajaan.
Menurutnya, wakil-wakil DAP perlu belajar mengenai ‘seni mentadbir’ kerana mereka belum lagi faham mengenai mekanisme pemerintahan.
Beliau mengulas tentang dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen pada Persidangan DUN kelmarin bahawa kementerian Masing tidak berbuat apa-apa kerana kementeriannya tidak diberi peruntukan.
“Sebelum Chong menuduh saya tidak berbuat apa-apa, saya perlu mengajar pembangkang tentang seni mentadbir dan menasihati mereka supaya tidak berfikiran cetek apabila meneliti sesuatu situasi.
“Beliau harus menjadi pelajar yang baik supaya beliau dapat mengetahui lebih mendalam lagi tentang struktur kerajaan,” katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.
Masing turut menyifatkan Chong sebagai tergigit lidah sendiri apabila mendakwa beliau (Masing) tidak ada tujuan yang berguna sebagai menteri kerana beliau tidak diperuntukkan dengan perbelanjaan pembangunan dan kementeriannya harus dimansuhkan.
“Saya tanya kepada Chong berapa banyak peruntukan perbelanjaan pembangunan yang beliau ada dan beliau menjawab ‘tidak ada’, jadi secara logiknya, beliau juga harus dimansuhkan kerana beliau juga tidak ada perbelanjaan pembangunan.
“Oleh itu jika beliau tidak diperuntukkan dengan dana pembangunan, apa yang beliau buat di sini?” katanya.
Dalam sidang akhbar itu, Masing menjelaskan bahawa peruntukan dana pembangunan tidak kelihatan dalam anggaran belanjawan kerajaan negeri kerana ia diperuntukkan kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya.
“Kami ada dana, dan sebenarnya ia lebih daripada mencukupi bagi tempoh lima tahun iaitu kami ada RM22.64 bilion yang kami gunakan, tetapi sudah tentulah mereka tidak dapat melihatnya kerana mereka melihat belanjawan kerajaan negeri sahaja dan mereka menuduh saya tidak berbuat apa-apa.
“Berdasarkan struktur kerajaan, ada kementerian yang memainkan peranan sebagai penyelia dan ada yang memainkan peranan sebagai pelaksana, contohnya JKR (Jabatan Kerja Raya),” katanya.
Beliau seterusnya menjelaskan bahawa projek atau program pembangunan boleh dibiayai menerusi satu atau kombinasi di antara pinjaman ‘soft loan’ dan geran daripada kerajaan negeri, pinjaman ‘soft loan’ dan geran daripada kerajaan persekutuan, pendapatan yang dijana dari dalam dan malah pinjaman komersil.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!