48 kawasan di Sarawak diwarta sebagai RGB
Posted on November 11, 2011, Friday
PEWARTAAN: Sembilan ketua masyarakat dari kawasan Muara Payang Sarikei merakam kenangan bersama tetamu kehormat (barisan belakang) selepas majlis penyerahan warta selesai diadakan. SARIKEI: Sebanyak 48 kawasan di seluruh Sarawak sudah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera (RGB) dan 20 daripada warta tersebut telah disampaikan kepada ketua masyarakat di kawasan yang terlibat.
Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, penyerahan warta itu merupakan sesuatu usaha yang berterusan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) yang membuktikan bahawa kerajaan menunaikan janjinya untuk memberikan jaminan ke atas hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Kita mahu masyarakat faham dan jelas dengan usaha baik kerajaan ini melalui program pewartaan RGB ini, kerana secara dasarnya ia membawa banyak kebaikan kepada para pemilik tanah NCR terutama ke arah pengesahan hak milik tanah secara bertulis dan lebih sistematik.
“Pengisytiharan tanah NCR sebagai RGB di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri merupakan jaminan dan pengiktirafan undang-undang ke atas pemilikan tanah NCR.
“Hak ke atas tanah NCR yang telah diwartakan adalah ditadbir dan ditentukan oleh undang-undang adat kaum yang tanahnya telah diwartakan,” kata Adenan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Tingkat 5, JTS, petang kelmarin.
Tambahnya selain daripada itu, masalah pencerobohan dapat dikurangkan kerana warta tersebut akan menerangkan dengan jelas akan saiz kawasan yang telah diukur.
“Sempadan kawasan ditunjukkan terlebih dahulu kepada pemilik tanah sebelum sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai RGB dan langkah ini dapat mengelakkan pertikaian tentang sempadan tanah.
“Sehubungan itu saya ingin menyeru kepada masyarakat agar menyelesaikan segala pertikaian antara satu sama lain dengan sebaiknya,” katanya.
Dalam majlis tersebut seramai sembilan ketua masyarakat yang mewakili sembilan rumah panjang dari kawasan Muara Payang telah menerima surat pewartaan yang disampaikan oleh Adenan.
Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei Ngu Tai Kong, Residen Bahagian Sarikei Michael Dawi Ali, Timbalan Pengarah Urusan JTS Negeri Sarawak Sajeli Kipli dan Pegawai Daerah Sarikei Abang Porkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!