BN Perlu Menang Besar PRU-13 Untuk Pastikan Wawasan 2020 Tercapai - FadillahSANTUBONG, 22 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang untuk mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan BN dalam mencapai matlamat Wawasan 2020, kata Anggota Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata BN negeri yang ditunjangi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu diperkuat dan diperkukuhkan lagi agar Sarawak kekal menjadi kubu kuat kepada BN pada pilihan raya umum nanti.
"Dalam politik, angka (majoriti) itu penting, kalau angka kita besar maka kita lebih mudah untuk merancang pembangunan negara khasnya dalam masa kita mahu menuju Wawasan 2020," katanya ketika berucap pada majlis pemukiman jentera Pilihan Raya BN P194 Petra Jaya di sini, Ahad.
Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata pembangkang hari ini sedaya upaya mahu mengurangkan majoriti BN dalam kerajaan pusat dan mereka sanggup berjanji kosong kepada rakyat semata-mata mahu memerintah dan menumbangkan kerajaan BN.
Menurutnya BN Sarawak akan memastikan impian pembangkang itu hanya angan-angan kosong kerana kerajaan yang sedia ada hari ini telahpun membuktikan kemampuannya dalam merancang serta membangunkan negeri ini.
Sementara itu, Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata beliau bersama-sama tiga lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Tupong, Semariang dan Satok dalam kawasan Parlimen Petra Jaya berharap Fadillah kekal menjadi calon BN untuk kerusi tersebut pada pilihan raya umum nanti.
Katanya Fadillah telah membuktikan kewibawaannya menjadi wakil rakyat dalam kawasan Petra Jaya sejak dua penggal lalu dan tidak timbul isu untuk mencari calon pengganti kepada beliau setakat masa ini walaupun keputusan muktamad ditentukan oleh pucuk pimpinan BN di peringkat negeri dan pusat.
"Apa yang penting sekarang ialah kita perlu mempersiapkan jentera pilihan raya kita dan cuba untuk menyelesaikan segera isu-isu yang berbangkit dan menambah apa yang masih diperlukan rakyat di kawasan," katanya yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri ketika merasmikan majlis itu.
Kira-kira 300 anggota PBB dari kawasan Tupong hadir pada pemukiman yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di sini.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!