Mungkinkah Sebastian ganti Chin?
Posted on Utusan Borneo Januari 13, 2012, Jumaat
MIRI: Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin tidak menolak kemungkinan akan mencadangkan Setiausaha Politik beliau, Datuk Sebastian Ting sebagai calon bagi menggantikannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya beliau tidak mempertahankan kerusinya itu kelak.
Chin kemungkinan cadang Setiausaha Politiknya jika beliau tidak bertanding
Bagaimanapun kata Chin, beliau belum membuat keputusan sama ada akan terus mempertahankan kerusinya pada PRU Ke-13 atau menyerahkannya kepada muka baharu untuk dicalonkan.
“Belum ada keputusan muktamad. Saya belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu (bertanding). Lagi pun pilihan raya masih belum tiba lagi dan kita tidak tahu pun bila ia akan diadakan,” katanya kepada pemberita di sini.
Bagaimanapun menurut Chin, setiausahanya itu telah banyak didedahkan dengan tugas-tugas beliau di peringkat Parlimen dan juga tugasnya selaku Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air.
“Beliau (Sebastian) sebagai setiausaha politik saya telah memikul banyak tanggungjawab membantu saya dalam kementerian dan juga tugas-tugas saya di peringkat persekutuan terutama apabila saya tiada di sesuatu tempat atau majlis di sini.
“Beliau menjadi wakil dan melakukannya bagi pihak saya. Kini apabila saya menyandang jawatan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tugas saya bertambah terutama ketika saya perlu memberikan tumpuan yang lebih kepada usaha mengukuhkan semula kekuatan parti. Sudah pasti dia (Sebastian) turut melakukan lebih banyak tugas saya,” tambahnya.
Dengan pendedahan yang begitu banyak, Chin tidak menolak bahawa Sebastian sudah dan akan bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat jika beliau dicalonkan kelak dan menang.
“Tetapi setakat ini perkara itu belum dibincangkan. Malah SUPP belum membincangkan mengenai calon-calon atau siapa yang akan bertanding mahupun mempertahankan kerusi mereka,” katanya.
Sebaliknya tumpuan beliau dan SUPP kini lebih kepada mengukuh dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu sebagai persiapan menjelang PRU kelak.
“Kami mahu rakyat dan ahli-ahli parti yakin kepada SUPP dan oleh yang demikian kami mahu bekerja lebih keras untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kami memang benar-benar bekerja untuk rakyat, turun padang, dengar masalah dan bantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.
“Bukannya cakap sahaja tapi tidak bekerja seperti yang dilakukan wakil pembangkang. Mereka ini bercakap sahaja kononnya rakyat perlu dibela, masalah rakyat perlu diatasi. Tapi adakah anda lihat mereka turun padang membantu rakyat?… tidak.”
“Sebaliknya kami, pemimpin serta wakil rakyat SUPP turun padang dan kami mahu rakyat lihat kami bekerja.
“Oleh sebab itu, menjelang PRU akan datang, saya mahu rakyat menilai kami semula, usaha yang kami lakukan untuk membantu dan menyelesaikan masalah rakyat dan adakah pihak pembangkang melakukan seperti yang kami lakukan,” tambahnya.
Sementara itu, Chin merupakan penyandang kerusi Parlimen Miri selama enam penggal berturut-turut sejak 1986 dengan lima daripadanya bertanding menentang calon DAP manakala pada PRU 2004, beliau menang tanpa bertanding.
Pada PRU Ke-12, SUPP diperuntukkan tujuh kerusi dan menang enam kerusi selepas tewas di kerusi Bandar Kuching kepada DAP.
Namun pada pilihan raya kecil Sibu, SUPP sekali lagi hilang kerusi kepada calon DAP, Wong Ho Leng menjadikan dua kerusinya milik pembangkang.
Lima kerusi kekal milik SUPP iaitu Parlimen Stampin menerusi calonnya, Datuk Yong Khoon Seng, Serian (Datuk Richard Riot), Sarikei (Ding Kuong Hiing), Lanang (Datuk Tiong Thai) dan Miri (Datuk Seri Peter Chin).
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!