Rakyat diingat tidak termakan pujuk rayu sertai demonstrasi Bebaskan Anwar 901
Posted on January 5, 2012, Thursday
MIRI: Rakyat diingatkan supaya tidak termakan pujuk rayu pihak berkepentingan untuk menyertai demonstrasi kempen Bebaskan Anwar 901 yang dijangka dilakukan di ibu negara 9 Januari ini.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, demonstrasi berkenaan adalah 100 peratus berhasrat untuk memperjuangkan agenda peribadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.
“Rakyat tidak harus campur tangan sama sekali kerana ia (perhimpunan) adalah berkaitan agenda peribadi Anwar semata-mata, tidak lebih daripada itu,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, rakyat harus menghormati undang-undang serta peraturan negara yang telah digariskan dan bukannya bertindak melulu dan sesuka hati.
“Biarlah undang-undang memutuskan (hal perbicaraan) kerana kita perlu hormati walau apapun keputusannya,” ujarnya.
Kata Ahmad Lai, jika rakyat menyertai demonstrasi yang dipercayai anjuran sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, perbuatan berkenaan diibaratkan membelakangi undang-undang.
“Orang awam mahupun mahasiswa dan mahasiswi juga diharap tidak akan melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak dengan kempen itu nanti.
“Kempen Bebas Anwar 901 mendapat reaksi negatif di kalangan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai parti politik.
Dikatakan ia dirancang bertujuan menuntut keadilan bagi Anwar yang juga ketua umum PKR.
Sehingga semalam, banyak pihak termasuk daripada NGO dan parti-parti politik membantah kempen berkenaan dengan melaporkannya kepada pihak polis.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!