SNAP sertai BN atau PR?
by Agnes Tugong. Utusan Borneo, 16 Januari 2012, Isnin
Parti tidak tolak kemungkinan itu tetapi bukan sekarang
KUCHING: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) tidak menolak kemungkinan akan menyertai Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) pada masa akan datang.
Presiden SNAP Edmund Stanley Jugol berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-17 SNAP di ibu pejabat parti itu di sini semalam.
Bagaimanapun menurutnya ia mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini kerana dalam tempoh ini SNAP akan memberi tumpuan dalam usaha mengukuhkan parti terlebih dahulu.
“Meskipun SNAP kini adalah sebuah parti yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak, namun kami tidak menolak kemungkinan akan menyertai BN mahupun PR pada masa akan datang.
“Akan sampai masanya kelak di mana SNAP akan menyertai BN ataupun PR kerana parti ini tidak akan selamanya bergerak sendiri.
“Tetapi buat masa ini, ingin saya tegaskan bahawa SNAP akan memberi tumpuan dalam usaha mengukuhkan parti terlebih dahulu,” katanya.
Terdahulu pada sesi pemilihan Majlis Tertinggi SNAP 2012-2015, Stanley yang telah dipilih sebagai presiden baharu mengantikan Edwin Dundang yakin dengan barisan kepimpinan baharunya itu semalam.
TGA semalam turut menyaksikan pemilihan Jawatankuasa Pusat Eksekutif (CEC) SNAP yang juga dipengerusikan oleh Stanley.
“Saya berpuas hati dengan perjalanan sesi perjumpaan dan mesyuarat serta pemilihan hari ini (semalam) yang mana segalanya berjalan dengan lancar dengan semangat kekeluargaan.
“Justeru, saya berharap barisan kepimpinan baharu yang menampilkan kombinasi muka baharu dan lama akan dapat memperkukuhkan lagi SNAP,” katanya.
Pemilihan Majlis Tertinggi SNAP semalam menyaksikan Kebing Wan sebagai Timbalan Presiden dan Johnny Wong Sie Lee sebagai Naib Presiden kanan.
Jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Frankie Jurem Nyumboi, Dayrell Walter Entrie, Anthony Liman Sujang, Dan Giang dan Roland Teo Yuk Tong.
Frankie dalam pada itu turut dilantik sebagai SetiausahaaAgung manakala bekas presiden Edwin Dundang Bugak dan Penasihat Dato Sri Daniel Tajem dilantik sebagai ahli bagi CEC.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!