Persatuan Media Sosial Sarawak boleh dipautkan di sini.!!??
Ahli Persatuan Media Sosial bukan askar siber
Posted on March 12, 2012, Monday
KUCHING: Presiden Persatuan Media Sosial Wan Abdillah Edruce Datuk Seri Wan Abdul Rahman berkata, ahlinya bukan askar siber seperti mana tanggapan segelintir masyarakat.
“Objektif utama persatuan adalah untuk menarik orang ramai melalui dunia siber selain membantu kerajaan untuk menyebarkan dasar-dasar dan programnya, lebih-lebih lagi yang dapat membantu rakyat di peringkat akar umbi.
“Dengan slogan ‘Satu Suara, Satu Cinta’ kami cuba mendengar suara rakyat, masalah mereka dan cuba memahami mereka dengan tujuan membantu mereka di mana kita mampu.
“Tidak wajar menggelar persatuan kami sebagai askar siber untuk menentang pembangkang kerana itu bukan tujuan kami dan lebih baik kami memberi fokus kepada membantu rakyat seperti dalam hal-hal program transformasi kerajaan, sosioekonomi, rekreasi, pendidikan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Abdillah berkata tidak ramai orang dapat menghadiri seminar atau bengkel yang dianjurkan di badar-bandar maka adalah penting untuk pihaknya membantu usaha kerajaan menyebarkan maklumat kepada mereka di luar bandar.
Beliau juga berkata, tidak ramai orang yang mempunyai akses kepada internet atau media lain untuk mendapatkan maklumat dan di sinilah persatuan ini dapat memainkan peranan positif.
Abdillah berkata, sebagai permulaan persatuan itu akan melibatkan orang di kawasan terpilih di Kuching untuk mendidik mereka tentang jaringan kerjasama melalui internet, media sosial dan menjemput mereka untuk menyertai seminar dan bengkel usahawan di peringkat akar umbi dengan kerjasama agensi-agensi lain.
Misalnya kata beliau, input daripada kongres ekonomi anjuran TERAJU dan dirasmikan oleh Ketua Menteri semalam seharusnya disebarkan kepada rakyat di peringkat akar umbi supaya lebih ramai rakyat tahu apakah tujuan TERAJU dan bagaimana ia boleh membantu mereka dalam dunia perdagangan.
Abdillah juga berkata beliau suka melihat lebih ramai orang dari pelbagai kawasan berhubung sesama mereka untuk mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan.
Dalam hal ini, Ketua Menteri baru-baru ini berkata satu badan khas diperlukan untuk melihat dan menyelesaikan masalah sosial di dalam negeri dan menambah bahawa di sinilah mereka boleh memainkan peranan positif, katanya.
Sehubungan itu, sebagai sebuah NGO, beliau berharap mendapat bantuan yang sesuai daripada pihak berkuasa berkaitan apabila mereka memulakan program dan aktiviti mereka untuk melibat dan menghubungkan rakyat sesama mereka pada tahun ini, tambah beliau.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!