SUPP Nafi Khabar Angin Pembatalan Pendaftaran
MIRI, 1 Mac (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menafikan khabar angin bahawa pendaftaran parti itu akan dibatal disebabkan berlaku penyelewengan pada pemilihan peringkat cawangan dan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti itu tahun lepas.
Presidennya Datuk Seri Peter Chin berkata berita, khabar angin dan SMS yang diedar setakat ini tidak menjejaskan tugasnya sebagai presiden parti dan menteri.
"Setakat ini, tidak ada berita daripada Pendaftar Pertubuhan dan saya masih meneruskan tugas sebagai presiden parti dan menteri persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan SK Tudan Jaya, SMK Tudan dan SMK Kuala Baram, di sini Khamis.
Terdahulu media bertanya Chin, yang juga Anggota Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, mengenai penyebaran SMS mendakwa bahawa pendaftaran SUPP akan dibatal dan barisan kepimpinannya akan diganti.
Keadaan itu menimbulkan spekulasi bahawa parti paling lama di negeri ini mungkin menyaksikan perubahan kepimpinan seawal minggu ini, dua bulan selepas Chin dipilih sebagai presiden parti setelah menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!