Pegawai JASA Dilengkap Kemudahan Internet Mudah Alih Untuk Tangkis Dakyah Anti Kerajaan
KUCHING, 25 April (Bernama) -- Semua pegawai Jabatan Hal-Ehwal Khas (JASA) di seluruh negara akan dibekalkan dengan komputer riba dan modem capaian internet jalur lebar sebagai peralatan untuk menangani isu rakyat yang dibangkitkan di internet.
Ketua Pengarah JASA Datuk Fuad Hassan berkata pembekalan peralatan itu akan membolehkan pegawai-pegawai Jasa menjawab isu-isu yang cuba dibangkitkan bagi meracuni pemikiran rakyat di mana sahaja mereka berada.
"Peranan JASA sekarang tidak sama dengan keadaan semasa menentang komunis dan eksterimisme agama suatu ketika dahulu.
"Kini sudah ada usaha (pihak-pihak tertentu) untuk menyeludup fahaman membenci kerajaan melalui media sosial," katanya ketika berucap merasmikan Program Segulai Sejalai (Seiring Sejalan) untuk sukarelawan dan pegawai JASA di Santubong, kira-kira 20 kilometer dari sini.
Beliau berkata cabaran tugas-tugas pegawai JASA kini tidak lagi terikat kepada menerangkan keadaan sebenar ketika di lapangan tetapi turut menagih kemahiran mereka menjelaskan dasar-dasar kerajaan melalui media sosial.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!