Puteri SPDP Sokong Usaha Kerajaan Pinda Akta UniversitiBAU (SARAWAK), 11 April (Bernama) -- Puteri Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hari ini menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan berhubung pindaan tiga akta universiti untuk membolehkan penuntut universiti terlibat dalam politik, kata pengerusinya Kaunselor Barbara Mawan di sini.
Beliau berkata langkah tersebut amat tepat sekali kerana terdapat ramai golongan belia khasnya di universiti yang berbakat dalam politik dan mereka perlu diberikan peluang.
"Negara perlukan ramai pelapis dalam politik dan golongan terpelajar di peringkat universiti perlu diberi peluang dalam politik. Puteri SPDP memang menyokong langkah pindaan akta universiti itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja program Jom Beramai di sini hari ini.
Katanya golongan mahasiswa universiti perlu mengambil peluang itu sebaik mungkin untuk memberikan sumbangan mereka kepada perkembangan politik negara.
Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, Rang Undang Undang Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2012 dibentang buat kali pertama oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!