Terserah Kepada Parti Tentukan Siapa Ketua Menteri Sabah Selepas IniPUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata soal siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 hanya akan ditentukan pucuk pimpinan parti.
Mohd Shafie berkata desas-desus di Negeri di Bawah Bayu bahawa beliau akan dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah bagi mengantikan Datuk Seri Musa Aman hanya satu dakwaan di kalangan pihak tertentu.
"Saya hanya bekerja untuk memberi khidmat kepada rakyat dan terus memperkukuhkan parti. Soal jawatan, bertanding atau tidak bertanding, ia terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa yang layak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Pertama Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya Sesi 2011 di sini Khamis.
Katanya kesemua pihak perlu bekerja keras untuk memastikan Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya umum kelak.
Mengenai laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan Dewan Rakyat pada Selasa lepas, Mohd Shafie berkata beliau yakin cadangan itu mampu menambah baik sistem sedia ada.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!