BN siap sedia hadapi penulis blog
by Patricia Gari. Posted on April 19, 2012, Thursday
Mereka sering keluar kenyataan tidak benar, memburukkan BN dalam media
KUCHING: Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia berdepan dengan penulis-penulis blog yang sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memburuk-burukkan BN dalam media sosial.
Menteri Kanan Tan Sri James Masing berkata, BN Negeri dan BN Pusat mempunyai sistem teknologi maklumat dan informasi masing-masing dan sudah melatih ahli parti yang lebih muda menguasai media sosial termasuk penulisan blog.
“Kita menjangkakan perkara sama seperti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 akan berlaku semula pada PRU akan datang, BN berdepan dengan kumpulan ini yang menggunakan media sosial untuk mempengaruhi rakyat.
“Kali ini BN sudah bersedia untuk menimbal balik segala tohmahan dan kenyataan tidak benar mengenai BN dalam media sosial,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Kolokium Aplikasi Teknologi Maklumat (IT) Dalam Industri di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), semalam.
Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah serta presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagaimanapun berkata, penulis blog memainkan peranan sangat penting dalam pilihan raya kerana masyarakat hari ini lebih berminat memperoleh maklumat daripada media sosial daripada media lain.
Beliau menambah kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha penulis blog memuatkan artikel dalam media sosial tetapi dengan syarat ia mesti mempunyai objektif yang jelas dan menyatakan perkara benar.
“Saya berpendapat apa jua yang dinyatakan oleh penulis blog dalam laman sosial masing-masing perlu ada objektifnya dan tidak memburuk-burukkan pihak lain tidak kira BN atau individu serta tidak terlalu berimaginasi… ini tidak bagus.
“Jangan gunakan media sosial untuk mengatakan perkara yang tidak benar kerana tindakan ini adalah salah,” katanya.
Sementara itu, BN Pusat dan BN Negeri ketika ini memiliki sistem ‘askar siber’ masing-masing bagi menimbal balik segala bentuk kenyataan tidak benar serta tohmahan terhadap BN dalam media sosial khususnya portal dan blog.
Baru-baru ini pula sebuah akhbar melaporkan PRS ketika ini mempersiapkan ‘askar siber’ parti itu bagi menghadapi PRU akan datang.
Menurut laporan akhbar itu lagi, parti itu mengambil tindakan tersebut kerana menyedari media sosial berkembang dengan begitu pesat ketika ini dan lebih penting jika dibandingkan dengan media arus perdana dari segi jumlah pembaca.
Akhbar itu memetik Masing selaku presiden PRS sebagai berkata: “Adalah perlu untuk BN Sarawak tidak mengulangi kesilapan lalu, memandang rendah kemampuan media sosial dalam membentuk pendapat rakyat.”
Menurutnya ‘askar siber’ yang diletak di bawah sebuah unit dikenali Unit Media Baru (UMB) sangat terlatih dan disifatkan sebagai ‘penulis blog terbaik di Malaysia’.
Mereka akan memberi gambaran yang lebih betul kepada umum tentang perkara yang berlaku di negara dan negeri ini.
Akhbar itu turut melaporkan UMB milik PRS terdiri daripada lima orang yang merupakan ahli parti yang dipilih berdasarkan minat dan pengetahuan meluas mereka mengenai isu-isu politik dan perkembangan semasa di Sarawak.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!