Ketua Menteri Sarawak semalam berada di Miri untuk memberi pingat di atas jasa kakitangan sektor perkhidmatn awam. Beliau juga memuji amalan budaya inovasi dan kreativiti yang dipamerkan oleh kakitangan awam. Ini dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan objektif Program Transformasi Kerajaan.
Budaya inovasi, kreativiti pastikan sektor awam relevan: Taib
Posted on July 20, 2012, Friday
MIRI: Amalan budaya inovasi dan kreativiti oleh kakitangan awam dalam tugas seharian mereka akan memastikan peranan agensi kerajaan terus relevan dengan peredaran zaman.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin amalan budaya berkenaan akan membantu kerajaan negeri merealisasikan objektif Program Transformasi Kerajaan (GTP).
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengorbanan anggota perkhidmatan awam begitu besar maknanya dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan baik di bandar atau luar bandar.
“Sesungguhnya saudara dan saudarilah yang memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan serta mengamalkan integriti yang tinggi,” ujarnya dalam perutusan beliau untuk Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Taib berkata, majlis berkenaan diadakan untuk memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan atas sumbangan yang tidak ternilai terhadap pembangunan dan kemajuan negeri ini.
Beliau berterima kasih atas sumbangan kakitangan awam selama ini dan mengucap tahniah kepada kakitangan yang cemerlang dalam perkhidmatan mereka.
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dalam perutusannya berkata, penekanan terhadap sistem ‘good governance’ dalam sektor awam, khususnya tadbir urus pengurusan kewangan di semua peringkat telah membolehkan Sarawak diisytiharkan sebagai negeri yang mempunyai pengurusan kewangan terbaik sepanjang sembilan tahun berturut-turut.
Beliau memberitahu, Sarawak telah dianugerahkan ‘Clean Certificate’ bagi tahun 2010 Kategori Akaun Awam oleh Ketua Pengarah Audit Negara.
“Ini adalah manifestasi pengurusan kewangan berhemah berasaskan rangka kerja yang mematuhi undang-undang, peraturan dan tatacara yang betul,” jelasnya.
Sementara itu, seramai 313 kakitangan awam dari 11 jabatan kerajaan di sini menerima Pingat Perkhidmatan Setia atas perkhidmatan selama lebih 20 tahun.
Jumlah penerima teramai ialah dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak seramai 63 orang diikuti Jabatan Kerja Raya Sarawak (53), Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Pelabuhan Miri (masing-masing 42), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (26), Jabatan Imigresen Malaysia (25), Lembaga Hasil Dalam Negeri Sarawak (19), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (13), Jabatan Meteorologi Malaysia (11), Pejabat Residen dan Daerah Bahagian Miri (10) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (9).
- Posted using BlogPress from my New iPad
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!