Bandar raya luar negara berminat jalin persahabatan dengan KuchingUtusan Borneo 3 Ogos 2012, Jumaat
KUCHING: Ulang Tahun Ke-24 Bandaraya Kuching, membawa rahmat kepada ibu negeri ini apabila beberapa pihak berkuasa bandar raya luar negara berminat menjalin hubungan persahabatan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) James Chan berkata minat untuk menjalin hubungan itu bermula sejak Kuching dianugerahkan Bandar Raya Pelancongan oleh Strategi Antarabangsa Untuk Mengurangkan Bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pembangunan Saintifik Bandar Raya Dunia dan Bandar Raya Berkembar Antarabangsa, tahun lalu.
“Antaranya bandar raya Zhenjiang di wilayah Jiangsu, China dan Guro di Korea Selatan,” kata James Chan ketika berucap pada pelancaran Majlis Memperingati Ulang Tahun Bandar Raya Kuching Ke-24 dan perasmian Pesta Ria Kuching, di pekarangan MBKS di sini, malam kelmarin.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Selain Zhenjiang dan Guro, James berkata melalui MBKS, bandar raya ini juga telah menjalin hubungan dengan bandar raya Zhanjiang dan Kunming di China.
“Dengan hubungan persahabatan ini, ia akan menarik kedatangan pelancong dan pelabur demi kebaikan ekonomi Kuching,” katanya.
Dalam pada itu, James menyeru masyarakat bandar raya ini meneruskan usaha mengekalkan persekitaran yang berkualiti.
Sementara, Abdul Wahap berkata peranan masyarakat yang dimainkan adalah penting dalam mewujudkan sebuah bandar yang sihat dan sesuai untuk didiami.
“Kita semua mesti bekerjasama dan bertanggungjawab dalam membuat Kuching sebuah bandar yang mempunyai persekitaran yang bersih dan sihat,” katanya.
Tegas beliau, sambutan Hari Bandar Raya telah melambangkan sosiobudaya yang harmoni, berbilang kaum yang menjadikan Kuching sebagai wadah istimewa untuk dikunjungi dan ia perlu dikekalkan dan dijaga untuk tatapan generasi akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!