Perdana Menteri telah berbuka puasa di DUN baharu semalam. Beliau turut mengingatkan semua bahawa perpaduan dalam parti adalah tonggak persefahaman yang membolehkan janji BN ditepati. Ini amat berbeza dengan pembangkang yang tiada hala tuju!
Perdana Menteri yakin bahawa dengan kekuatan yang dimiliki oleh jentera BN maka mereka percaya Sarawak masih bumi BN! Turut diraikan semasa Majlis Berbuka Puasa tersebut adalah golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim tanpa mengira agama dan keturunan. Ini untuk menunjukkan keprihatinan Sarawak sempena menyambut Syawal.
Najib juga menyatakan rasa bangga terhadap anak Sarawak yang merupakan atlet terjun negara. Pandelela yang tidak asing lagi menjadi sebutan kerana menyumbang pingat kedua untuk Olimpik London 2012. Ini membuktikan berkat ketekunan atlet maka negara dapat meraih satu lagi pingat! Hanya usaha yang gigih dapat membuahkan hasil!
Ketua Menteri Sarawak juga sempat memberi gelaran kepada Najib iaitu Young and Vigorous PM!
Sarawak Masih Bumi BN
Utusan Borneo 11 Ogos 2012, Sabtu
PRIHATIN: Najib menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik pada majlis berbuka puasa di Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapha
KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Sarawak masih bumi BN dan akan berjaya pada Pilihan Raya Umum akan datang jika perpaduan dalam BN dirapatkan.
Keyakinan tinggi terhadap jentera BN Sarawak itu dinyatakan oleh beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Kompleks DUN baharu, Petra Jaya di sini semalam.
“Saya telah banyak kali menyatakan bahawa kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah sangat baik di mana kerajaan pusat sentiasa menghormati kerajaan negeri dan begitulah sebaliknya.
“Memang tidak dinafikan seringkali berlakunya masalah, tetapi saya percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya dengan penuh yakin.
Tambah Perdana Menteri, BN telah membuktikan bahawa kerajaan sedia ada mempunyai masa depan yang baik tidak seperti pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju.
“Kita tidak boleh menggadaikan masa depan kita kepada pembangkang yang tidak mempunyai hala tuju.
“Kita telah berjuang habis-habisan untuk membina negara dan jika dihitung janji-janji pembangkang hampir kesemuanya tidak dapat ditunaikan. Sebab itulah pembangkang takut apabila kerajaan BN memperkenalkan pendekatan Janji Ditepati kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mampu mengotakan janji mereka,” katanya sambil menambah BN akan sentiasa menunaikan janji yang ditaburkan.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri kerana memberi ruang kepadanya dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk beramah mesra dalam bulan Ramadan ini.
Katanya dalam bulan Ramadan ini beliau telah mengambil keputusan untuk turun padang berbuka puasa bersama segenap lapisan rakyat kerana sebagai pemimpin kerajaan sudah menjadi kemestian untuk beliau mengambil berat terhadap rakyat khasnya golongan biasa.
Najib dalam ucapannya juga tidak lupa melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan atlet terjun negara, Pandelela Rinong, anak kelahiran Sarawak berketurunan Bidayuh yang berjaya memperolehi pingat gangsa dalam acara terjun platform 10 meter pada temasya Olimpik London 2012.
Katanya kejayaan Pandelela telah membuktikan bahawa Malaysia mampu berjaya di pentas dunia dengan syarat mesti ada kekuatan dan usaha gigih.
Sementara itu Taib dalam ucapannya memuji corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Najib yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘Young and Vigorous Perdana Menteri’.
Katanya, lawatan Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa semalam merupakan satu cara untuk negeri ini memperkenalkan kepada Perdana Menteri bahawa kita mahu hidupkan cara-cara prihatin.
“Di Sarawak, penerima-penerima sumbangan sempena Hari Raya tidak hanya kepada golongan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Inilah cara kita meraikan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan disusuli dengan solat fardu isyak serta solat sunat tarawih.
- Posted using BlogPress from my New iPad
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!