Kampung Assyakirin Fasa 1 mendapat rahmat untuk menjadi tuan rumah bagi meraikan sambutan Majlis MerdekaRaya sekali gus berjumpa dengan pemimpin no 1 negara iaitu Perdana Menteri Malaysia.
'Majlis Berlanggar' pula adalah salah satu tradisi masyarakat Melanau di Sarawak. Ia diadakan setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan aktiviti yang dilakukan untuk mengeratkan ikatan tali silatur-rahim sesama penduduk di dalam kampung.
Ia juga dijalankan sempena menyambut musim perayaan bagi memeriahkan lagi bulan yang penuh kesyukuran iaitu bulan Syawal.
Semoga PM dapat beramah mesra bersama dengan orang Bintulu.
Penduduk Kampung Assyakirin bersyukur, bangga bakal dikunjungi PM
Utusan Borneo 11 September 2012, Selasa
BINTULU: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kampung Assyakirin Fasa 1 bagi meraikan Majlis MerdekaRaya sekali gus meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Bintulu membawa makna yang cukup besar buat penduduk kampung itu bahkan rakyat di bahagian Bintulu khasnya dan Sarawak amnya.
Rata-rata penduduk berasa bersyukur dan berbangga kerana diberi penghormatan menjadi destinasi utama Perdana Menteri meraikan Merdeka Raya pada petang sebelum meraikan sambutan Hari Malaysia di tapak lapangan terbang lama pada malamnya.
Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta, 61, berkata beliau amat bersyukur dan bangga kerana kampungnya dijadikan tempat kunjungan Perdana Menteri bagi meraikan Majlis Merdeka Raya.
“Kunjungan Perdana Menteri merupakan satu penghormatan kepada Kampung Assyakirin dan saya amat berterima kasih atas sokongan penduduk yang memberi sumbangan tenaga dan idea untuk sama-sama menyerikan sambutan itu.
“Pemilihan Bintulu untuk meraikan sambutan Hari Malaysia juga merupakan satu penghormatan besar untuk bahagian ini,” katanya.
Katanya penghargaan juga kepada Residen Bintulu kerana memberi kepercayaan penuh kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti paling besar pernah diadakan di kampung mereka lebih-lebih lagi apabila dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negara.
Beliau yang lahir sebelum merdeka berkata, Hari Malaysia amat bermakna apabila melihat keadaan sebelum merdeka meskipun aman tetapi kurang pembangunan.
Manakala seorang penduduk Saffiee Semat, 55, yang lahir pada tahun merdeka pada 22 Disember 1957 berkata beliau amat berbangga menyambut Hari Malaysia tahun ini memandangkan kampungnya terpilih untuk sambutan hari yang cukup bersejarah itu.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana pemilihan itu dan pelbagai kaum akan menghadiri majlis di kampung kami pada 16 September ini bagi meraikan Merdeka Raya dan sambutan Hari Malaysia di Bintulu sekali gus menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan negara dan memperlihatkan semua kaum bersatu.
“Sebagai penduduk, kunjungan Perdana Menteri itu cukup bermakna dan membanggakan kami dan saya seperti tidak percaya kampung kami akan dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negara,” jelasnya.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (AJKKK) terbabit, Abdul Hakim Hassan, 52, pula berkata sebagai penduduk kampung dan rakyat Bintulu beliau amat terharu Perdana Menteri dan rombongannya akan hadir ke kampungnya.
“Kami bangga kerana kampung kami dipilih sebagai tempat untuk meraikan Merdeka Raya bersama Perdana Menteri,”katanya.
Justeru beliau menyeru penduduk Kampung Assyakirin Satu, Dua dan Tiga untuk hadir beramai-ramai meraikan sambutan majlis itu serta menyambut kedatangan Perdana Menteri pada 16 September ini.
“Kalau 1Malaysia Boleh, kita mahu 1Assyakirin Boleh dalam meraikan majlis sambutan bersama Perdana Menteri ini,” katanya.
Sementara itu, Abang Shariee Abang Mahrop, 65, berkata sambutan Hari Malaysia untuk peringkat daerah Bintulu pernah diadakan pada 16 September 1963 di Padang Sentral Lama di sini dan pada waktu itu beliau diamanah untuk menaikkan bendera Malaysia dan seterusnya menurunkan bendera Union Jack.
“Dan hari ini saya amat bersyukur, sekali lagi Bintulu dipilih tetapi membabitkan sambutan peringkat pusat serta menjadi tumpuan seluruh negara untuk sambutan besar-besaran Hari Malaysia pada 16 September ini dan amat bangga kerana dapat melihat sekali lagi sambutan itu,” katanya.
Sebagai rakyat Bintulu yang lahir sebelum merdeka katanya, beliau amat bersyukur kerana Sarawak dapat sama-sama menubuhkan Malaysia bersama Sabah dan Semenanjung Malaysia yang menjadikan negara ini bebas sebelum Jepun menyerah kalah dan selepas penjajahan British.
“Saya telah melihat perbezaan zaman sebelum merdeka dan selepas Jepun menyerah kalah dalam peperangan sebelum Malaysia dibentuk.
“Perubahannya sangat ketara. Pada zaman pemerintahan British kami menyanyikan lagu kebangsaan penjajah `God Save The Queen’ manakala pegawai-pegawai daerah dan pemimpinnya kebanyakannya diterajui oleh orang Inggeris sekitar tahun 1961 sebelum pembentukan Malaysia.
“Tetapi selepas merdeka kita tidak menyangka orang kita sendiri dapat menjadi pemimpin dan memegang jawatan pentadbiran daerah dan negeri,” katanya.
Mewakili golongan belia kampung, Mohamad Zaifulfadillah Junaidi, 31, pula menyatakan rasa gembira, syukur dan berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memilih Kampung Assyakirin Fasa 1 sebagai tempat sambutan Majlis Merdeka Raya dan seterusnya memilih bahagian Bintulu untuk sambutan Hari Malaysia.
“Saya tidak sabar menunggu untuk menyambut detik bersejarah itu kerana sambutan itu adalah julung kali pernah diadakan di sini,” katanya.
Sebagai belia katanya, beliau amat berterima kasih kepada pejuang terdahulu yang berjuang untuk kemerdekaan negara kerana tanpa mereka mungkin tidak akan wujud Malaysia pada hari ini sebagai negara yang berdaulat.
“Slogan 1Malaysia amat tepat dan berpatutan disebabkan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah mempunyai rakyat berbilang kaum.
“Saya turut berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin membina gelanggang futsal 1Malaysia di kampung kami dan amat bertepatan dengan tema pada tahun ini `Janji ditepati’.
“Disebabkan itu saya menyeru seluruh warga belia di Bintulu untuk sama-sama menghayati erti kemerdekaan dan Hari Malaysia ini serta menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri bersama Perdana Menteri,” katanya.
“Penghargaan juga kepada pemimpin yang memberi kepercayaan untuk belia kampung terlibat sama sekali gus memberi semangat kepada kami dalam program sambutan itu,” katanya.
Bekas tentera darat yang pernah berkhidmat 10 tahun dari tahun 1967 hingga 1977, Ramli Wahab, 64, pula berkata beliau bersyukur sambutan Hari Malaysia diadakan di Bintulu.
“Sebagai bekas tentera yang pernah berkhidmat di sempadan Sarawak, Sabah, Malaysia-Thai pada zaman pemberontakan Komunis saya bersyukur kerana masih dapat meraikan Hari Malaysia hari ini dan amat bernasib baik selamat semasa berkhidmat dalam tentera,” katanya.
- Posted using BlogPress from my New iPad
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!