Kerajaan tiada niat rampas tanah kaum Berawan, kata Abdullah
Utusan Borneo 15 Oktober 2012, Isnin
MULU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol mengingatkan kaum Berawan yang tinggal di Taman Negara Mulu di kawasan Melinau,Tutoh supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan oleh pihak tertentu, kononnya tanah mereka akan dirampas oleh kerajaan.
Beliau yang menafikan perkara itu sekeras-kerasnya memberitahu ia adalah fitnah terhadap kerajaan negeri semata-mata.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil tanah rakyat dan pemimpin BN bukannya bodoh dan penipu, yang mahu mengambil tanah rakyat sesuka hati sahaja.
“Sebaliknya khabar angin tersebut adalah isu pembangkang semata-semata untuk mempengaruhi masyarakat supaya membenci kerajaan dan seterusnya menyokong calon pembangkang pada pilihan raya akan datang. Itu hanya untuk mereka memancing undi semata-mata,” jelasnya.
Abdullah menegaskan demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kediaman Ketua Kaum Edmund Abang di Melinau, Sungai Tutoh.
Beliau memberitahu perkara itu untuk menjelaskan mengenai isu dan khabar angin yang menuduh bahawa kerajaan mahu merampas tanah yang diduduki 136 keluarga sejak berpuluh tahun lalu, di seberang Taman Negara Mulu, di sini.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!