PRU13 bukan eksperimen
by Watt Zacchaeus. Utusan Borneo 10 Disember 2012, IsninKerajaan BN yang telah lama memerintah harus diberi mandat oleh rakyat untuk terus memerintah
GUNAKAN SEBAIKNYA: Vincent Lau (dua kanan) menyampaikan Touch Point kepada salah seorang penerima pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Touch Point bagi Parlimen Sibu, petang semalam.
SIBU: Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang bukanlah satu eksperimen untuk rakyat mencuba pemerintahan baharu.
Temenggung Vincent Lau Lee Ming berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah lama memerintah negara ini amnya dan negeri ini khasnya harus diberi mandat oleh rakyat untuk terus memerintah.
“Jangan terlalu terpedaya mendengar anasir luar bahawa kerajaan itu, kerajaan ini adalah lebih baik. Tiada kerajaan lain yang boleh membawa negara ini terus maju dari tahun ke tahun seperti kerajaan BN sekarang.
“Oleh itu, saya menegaskan bahawa PRU13 adalah bukan tempat kita bermain-main atau mencuba sesuatu pemerintahan yang baharu kerana lima tahun adalah satu tempoh yang agak lama jika kita tersalah pilih kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Touch Point bagi Parlimen Sibu anjuran Jabatan Perdana Menteri di Kampung Bahagia Jaya, Teku di sini petang semalam.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit, Pemanca Stanley Gramong, wakil Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bahagia Jaya, Teku Fasa I, II dan III selaku pengerusi jawatankuasa penganjur Ismail Amir serta tetamu jemputan lain.
Dianggarkan lebih 20 orang yang terpilih menerima sumbangan berupa Touch Point yang merangkumi alatan membuat kuih, mesin jahit dan sebagainya bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan melalui perusahaan kecil.
Menurut Vincent Lau, rakyat di Sibu harus mempelajari apa yang telah terjadi pada pilihan raya kecil 2010 dahulu di mana Parlimen Sibu jatuh kepada pihak pembangkang adalah kesilapan rakyat sendiri kerana tersalah pilih calon.
“Sekarang dua tahun lebih kita di sini (Sibu) telah diperintah oleh pihak pembangkang dan tiada apa yang kita dapat melainkan satu kerugian besar akibat tersalah pilih.
“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Sibu pada PRU13 kelak agar tidak tersalah pilih lagi. Belajarlah daripada kesilapan lalu,” katanya.
Vincent Lau menyifatkan BN adalah sebuah kerajaan prihatin dan membela nasib rakyat dengan menunaikan segala janjinya.
Beliau mengingatkan rakyat bahawa program transformasi kerajaan memerlukan calon BN untuk meneruskannya di sesebuah kawasan kerana hanya BN sahaja yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat dalam menyalurkan pembangunan.
“Kita di negara ini masih memerlukan kerajaan BN untuk memerintah. Kita juga tidak mahu kerajaan baharu kerana kerajaan BN sudah lama diyakini untuk terus memajukan negara ini pada masa akan datang,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!